Majlis pelancaran itu disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Kali, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan selaku Ahli Kehormat MAOC di Dewan Auditorium Pusat Latihan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Serdang, Selangor pada 26 Ogos lalu.

Pada majlis tersebut, Mat Nadzari turut melancarkan minyak pelincir edisi khas yang mempunyai pelekat khas untuk ahli MAOC untuk dijadikan sebagai koleksi mereka.

Produk tersebut adalah hasil kerjasama antara MAOC dengan Vervx Malaysia.

Menurut Presiden MAOC, Rusmaini Mohammed Rosli, MAOC telah berusia tujuh tahun dan kini mempunyai keahlian seramai 12,430 orang.

“Ini merupakan kali pertama kita melakukan transformasi ke atas logo rasmi kelab manakala bagi baju rasmi kelab, ini adalah transformasi kali ketiga.

“Transformasi ini dilakukan seiring dengan tuntutan semasa dan mengambil kira suara-suara ahli kelab ini,” katanya.

Memandangkan hari pelancaran itu berada di bulan kemerdekaan, Skuad Rakan Bendera MAOC dan ahli kehormatnya turut mengadakan program Perarakan Semarak Kemerdekaan.

Antara aktiviti lain yang dijalankan pada hari itu termasuklah jualan dari but kenderaan atau car boot sale yang disertai peniaga-peniaga dalam kalangan ahli MAOC.

“Selain memberikan peluang kepada ahli menjana pendapatan, langkah ini dapat mengukuhkan tali persaudaraan sejajar dengan slogan kelab itu iaitu Alza Satu Persaudaraan,” jelas Rusmaini.

Pemilik kenderaan Perodua Alza yang berminat menjadi ahli MAOC boleh melayari laman web www.myalza.com.my.