Keahlian Kelab yang dahulu dikenali dengan Army Bikerz Community terdiri daripada anggota tentera dan juga pesara tentera yang mempunyai minat mendalam terhadap motosikal berkuasa tinggi selain permotoran.

Jika disoroti sejarah penubuhan MAB, ia merupakan pertubuhan yang wujud sejak tahun 2014 lagi. Namun ia didaftar secara rasmi sebagai langkah penyusunan semula untuk menjadi sebuah persatuan yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia.

Presiden MAB, Syahril Khazlee Sahrani berkata tujuan asal penubuhan kelab ini adalah untuk menyatukan anggota tentera khasnya tentera darat di bawah satu bumbung tanpa mengira umur, agama.

“Keahlian juga dibuka kepada anggota tentera yang masih berkhidmat dan anggota yang telah bersara serta ahli yang telah berhenti dari perkhidmatan sebagai satu tempat untuk berkongsi maklumat tentang ilmu permotoran dan bertukar buah fikiran tentang isu-isu permotoran,” ujar Syahril Khazlee yang telah bersara pada tahun 2016.

Selain itu, penubuhan MAB turut menekankan konsep kekeluargaan dan kerjasama ahli kelab dalam menjaga kebajikan ahli kelab. Selain daripada anggota, ahli keluarga turut digalakkan terlibat dalam semua aktiviti yang diadakan.

Setiausaha kehormat MAB, Meor Mohd Faizul Abd Karim berkata penubuhan kelab ini menyemarakkan semangat kekeluargaan selain memberi penekanan kepada aktiviti kebajikan. “Selain berseronok dalam melibatkan diri dalam aktiviti seperti konvoi, inilah masa untuk ahli kelab beramal dengan memberi bantuan kepada golongan yang memerlukan,” kata Meor Mohd Faizul.

Sebagai perancangan untuk masa hadapan, MAB turut mensasarkan jalinan kerjasama strategik dengan agensi dan pihak kerajaan serta pihak swasta dalam pelaksanaan setiap aktiviti. Kerjasama strategik akan memberikan impak lebih positif dan mampu mengemudi MAB menjadi kelab yang disegani dan berpengaruh di Malaysia.

Antara aktiviti yang diadakan untuk mengeratkan pertalian antara ahli kelab seperti konvoi ziarah ke kem-kem seluruh Malaysia. Kem tentera yang pernah dilawati kelab ini merangkumi kem-kem di Port Dickson, Negeri Sembilan dan beberapa kem tentera di negeri Pahang.