Tetapi itulah harga permulaan yang ditawarkan bagi 228 buah kenderaan mewah terpakai yang akan dilelong oleh Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema) di seluruh negara dalam waktu terdekat ini.

Pengendali lelongan, G-Mart Corporation Sdn. Bhd. akan menguruskan proses lelongan sebanyak 151 buah kenderaan di Semenanjung Malaysia, 48 buah di Sabah dan 29 buah di Sarawak.

Menurut Ahli Jawatankuasa Pekema, Datuk Wahid Lasimin, daripada jumlah itu sebanyak 183 buah merupakan kenderaan import terpakai manakala 45 jenis baharu, kesemuanya akan dilelong dalam waktu terdekat.

Jelas beliau, syarikatnya iaitu Kumpulan G-Mart Corporation Sdn. Bhd. bersedia untuk menjual kesemua kenderaan tersebut dengan anggaran harga bermula RM50,000 sebuah, bagi mencapai hasil jualan sebanyak RM14.15 juta.

“Sebagai perintis dalam industri lelong kenderaan ini, banyak kebaikan, kelebihan dan manfaat yang bakal diperoleh pengguna yang membeli melalui kaedah ini antaranya harga 20 peratus lebih murah dan diskaun cukai import sehingga 50 peratus.

“Malah, kaedah pembelian kenderaan import terpakai ini juga sebenarnya lebih telus kerana mereka boleh memeriksa terlebih dahulu keadaan fizikal kereta atau motosikal iaitu sehari sebelum aktiviti lelong dilaksanakan,” katanya.

Tambah Pengarah Urusan G-Mart ini lagi, sejak menjalankan aktiviti lelong pada 16 tahun lalu berhasrat mahu menjual 1,000 unit sebulan melalui kedua-dua kaedah iaitu konvensional dan atas talian.

Katanya, beliau juga mahu memperkenalkan pemeriksaan kenderaan di bawah waranti APEG SYSTEM Sdn. Bhd. (APEG SYSTEM) dengan kerjasama Persatuan Automotif Malaysia (AAM).

“Kita mahu merancakkan industri kereta import terpakai sebab berdasarkan rekod jualan terkumpul G-Mart Corporation bagi tempoh dua tahun lalu kami mencatat jumlah yang cukup memberangsangkan.

“Pada tahun 2014 misalnya, sebanyak 4,001 buah kenderaan dijual manakala 3,990 buah pada tahun lalu. Di samping itu, kami juga mencapai kerjasama dengan pelbagai vendor seperti bank, badan korporat, kerajaan dan individu,” katanya.

Jelas Wahid, apabila aktiviti lelong kenderaan semakin rancak di Malaysia, sudah tentu pelbagai penambahbaikan dan inovasi baharu akan dilaksanakan agar seiring dengan permintaan.

“Atas sebab itu, syarikat saya kini dalam perancangan ingin membangunkan sistem lelong kenderaan secara dalam talian iaitu auction.g-mart.my bagi membolehkan proses jualan dijalankan dengan lebih pantas.

“Kaedah ini lebih mesra pelanggan kerana pembeli boleh membida menggunakan peranti masing-masing seperti telefon pintar, tablet dan lain-lain di mana sahaja pada hari lelongan diumumkan,” katanya.

Orang ramai yang berminat menyertai jualan lelong kereta mewah Pekema, boleh menghubungi Auction House G-Mart di Sungai Serai iaitu 03-90743815, 03-90743816 atau 03-90743819 manakala di Subang pula 03-78471722 atau 03-78471385.