Pasti ramai yang tertanya-tanya adakah aktiviti jual beli sedemikian wujud di negara ini, atau ia hanya imaginasi seniman agung berkenaan bagi mendapatkan sambutan daripada para penonton.

Pengarah Kumpulan G-Mart Corporation Sdn. Bhd., Datin Hasyimah Sarnin berkata, syarikat yang ditubuhkan sejak 1986 itu bukan hanya menjual kereta import terpakai yang dibawa masuk dari luar negara malah turut mempunyai lesen bagi melakukan aktiviti jual beli lelong sejak 18 tahun lalu.

Katanya, beliau mendapat inspirasi untuk menjalankan perniagaan lelong ketika mengadakan urusan perniagaan di negara matahari terbit itu pada tahun 1998, iaitu selepas negara pulih daripada kegawatan ekonomi.

“Kami merupakan perintis jual beli lelong di negara ini namun pada waktu itu perkhidmatan ini masih belum boleh diterima baik oleh masyarakat serta pihak bank. Selepas lima tahun perniagaan ini dijalankan, penerimaan semakin menggalakkan hingga kita menerima antara 500 hingga 600 buah kereta untuk dilelong dalam tempoh seminggu.

“Pada masa itu, kami telah membuat operasi jual beli ini di dua cawangan iaitu di Subang pada hari Jumaat dan Sabtu di Hulu Langat,” katanya ketika ditemui di ibu pejabat G-Mart di Kajang, Selangor baru-baru ini.

Tambahnya, beliau secara peribadi berharap supaya persepsi negatif masyarakat terhadap aktiviti jual beli lelong berubah dan mencontohi budaya penduduk di beberapa negara barat.

“Jika di United Kingdom (UK) atau Amerika Syarikat (AS) misalnya, masyarakat mereka menjadikan aktiviti lelong ini seperti program mingguan sambil bersantai dengan seisi keluarga.

“Sudah tentu, bagi merealisasikan hasrat itu pihak bank perlu menyokong dengan memberi kemudahan pinjaman kepada para pelanggan yang membeli kenderaan lelong selain bantuan daripada syarikat pengeluar kereta itu sendiri,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Hasyimah memberitahu, syarikat itu juga telah bersedia untuk mengembangkan perkhidmatan tersebut pada masa akan datang kerana mereka turut memiliki lesen lelong untuk semua barangan termasuk harta seperti rumah dan barangan lain.

Katanya, pengedar kenderaan antara golongan yang tidak akan melepaskan peluang dalam aktiviti jual beli lelong ini kerana mereka mendapat manfaat yang cukup besar.

“Kami (G-Mart) memperoleh kereta-kereta yang dilelong ini melalui pelbagai sumber antaranya yang dibawa khas daripada pihak bank, syarikat korporat, individu persendirian dan wakil pengedar kereta-kereta baharu.

“Ramai yang tidak mengetahui sebenarnya proses jual beli kenderaan lelong ini akan menurunkan harga kenderaan itu sehingga 20 peratus lebih murah berbanding harga di pasaran. Berdasarkan keadaan ekonomi ketika ini, orang ramai dinasihatkan supaya merebut peluang ini dan memilih kenderaan lelong sebagai pilihan,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah dan Ketua Sumber Manusia, Datin Faridah Zainol Abidin berkata, syarikatnya itu turut menyediakan perkhidmatan mobile auction iaitu kakitangan G-Mart akan ke lokasi syarikat korporat untuk melakukan jual beli lelong tersebut.

Katanya, langkah itu digunakan apabila mendapat permintaan daripada syarikat korporat yang memiliki lebih 20 buah kenderaan untuk dilelong kepada umum.

“Antara syarikat korporat yang mendapatkan perkhidmatan kami adalah Tenaga Nasional Berhad (TNB), Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia), Proton Holding Bhd. (Proton), PLUS Malaysia Berhad (Plus), Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK), Astro, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

“Sebagai langkah memperluaskan lagi aktiviti jual beli lelong ini, kami akan melancarkan perkhidmatan E-Auction pada September ini, bagi membolehkan pihak bank, syarikat korporat dan individu perseorangan yang ingin melelong kereta masing-masing menerusi sistem kita iaitu auction.g-mart.my,” katanya.

Kumpulan G-Mart Corporation Sdn. Bhd. dikategorikan sebagai diversified company kerana menawarkan kepelbagaian perniagaan khususnya dalam industri automotif. Justeru, bagi meningkatkan bidang tersebut syarikat yang mempunyai sembilan buah cawangan itu sedang menaik taraf aktiviti jual beli lelong melalui online, seiring dengan perkembangan teknologi.

Meskipun pada hakikatnya, aktiviti jual beli lelong itu telah lama dipraktikkan di negara membangun lain namun G-Mart Corporation tidak berputus asa untuk membangunkannya secara aktif di Malaysia.