Timbalan Presiden Pekema Sarawak, Datuk Ismail Saufi memberitahu, disebabkan 'keistimewaan’ yang diterima oleh francais khususnya daripada aspek duti import dan percukaian, harga kenderaan baharu yang dijual hampir menyamai harga kenderaan terpakai.

Situasi itu, kata Ismail, telah menyebabkan pasaran jualan kenderaan terpakai menjadi lembab sehingga menimbulkan rasa bimbang dalam kalangan pemegang AP.

“Dulu harga kereta baharu dengan terpakai jauh berbeza, sebab itu pemegang AP boleh menjual kenderaan masing-masing.

“Bagaimanapun, disebabkan keistimewaan diterima francais yang melihatkan mereka tidak perlu membayar duti import, menjadikan harga-harga kereta baharu turun dengan mendadak, hampir menyamai harga ditawarkan untuk kereta terpakai.

“Ini sudah tentu menyukarkan pemegang AP kerana harga kenderaan terpakai tidak lagi kompetitif berbanding kenderaan baharu,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Selain itu, Ismail yang merupakan Ahli Jawatankuasa Kerja Pekema Pusat menjelaskan, syarikat francais menerima pelbagai insentif seperti pengeluaran atau penjualan kereta hybrid.

Beliau memberi contoh kenderaan hybrid kelas S, yang dulu berharga RM500,000 lebih, tetapi sekarang francais boleh jual pada harga RM300,000 lebih sahaja.

“Begitu juga kenderaan seperti BMW X5 baharu yang bakal dibawa masuk, difahamkan harga sebelum ini sekitar RM500,000 menurun kepada RM370,000. Sedangkan kami membawa masuk X5 yang dua ke tiga tahun usianya, harga ditawarkan hampir sama.

“Jadi, macam mana kami mahu jual? Sekarang pilihan kenderaan untuk diimport oleh pemagang AP sangat terhad disebabkan `layanan’ tidak sama rata ini,” jelas beliau.

Menurut Ismail, isu itu tidak pernah dibangkitkan sebelum ini kerana urus niaga kenderaan terpakai berjalan lancar dan seperti biasa.

Bagaimanapun, selepas syarikat francais menerima pelbagai kelebihan daripada perjanjian perdagangan, Pekema perlu menyuarakan kebimbangan dihadapi pemegang -pemegang AP.

“Sepatutnya isu ini telah diselesaikan sejak Januari lalu. Tetapi sehingga ke hari ini, tiada keputusan muktamad diambil oleh kerajaan.

“Kami (pemegang AP) telah berdagang selama lapan bulan, kami rugi. Jadi, kami berharap kerajaan prihatin terhadap perkara ini,” ujar beliau.