Jelas Presiden Pekema, Datuk Zainuddin Abd. Rahman, peraturan baharu itu turut dipersetujui secara bersama dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Katanya, sistem itu diwujudkan bagi menjaga kredibiliti ahli-ahli perniagaan tempatan yang menjalankan aktiviti import kenderaan dari luar negara.

“Langkah ini juga dapat mewujudkan disiplin dalam kalangan penggiat industri supaya menjalankan aktiviti jual beli kenderaan import secara telus.

“Malah, ia juga dapat melindungi pengguna daripada menjadi mangsa pihak-pihak tidak bertanggungjawab dengan membeli kenderaan import yang tidak berkualiti,” katanya kepada Pekema Auto di Cyberjaya baru-baru ini.

Pekema DVS merupakan sistem dalam talian yang memerlukan pemegang AP mengisi segala maklumat mengenai kenderaan import yang telah dibeli di luar negara seperti tahun ia dikeluarkan dan sejarah kenderaan berkenaan (sama ada pernah mengalami kemalangan atau tidak).

Jelas Zainuddin, pihaknya telah memaklumkan mengenai sistem dalam talian tersebut kepada kesemua negara pengeluar kenderaan import seperti Jepun, Korea serta Eropah dan sambutan yang diterima cukup positif.

Katanya, sistem itu memudahkan negara pengeluar untuk memasarkan kenderaan mereka di sini mengikut peraturan kedua-dua negara, dan jika berlaku masalah antara mana-mana pihak terdapat bukti yang boleh dikemukakan kepada mahkamah.

Dalam pada itu Timbalan Presiden Pekema, Datuk Wan Zaid Wan Abdullah berkata, sistem dalam talian itu juga turut dilengkapi ciri-ciri keselamatan, CQ Mark bagi membolehkan pembeli memeriksa sendiri kenderaan mereka dengan menggunakan aplikasi dalam telefon pintar.

Secara tidak langsung katanya, imej dan nama baik ahli-ahli Pekema akan dapat dipelihara daripada tuduhan liar yang sebelum ini mendakwa mereka menjual kenderaan recond dan tidak berkualiti.

Ujar beliau, sebenarnya kereta import yang mengalami pelbagai masalah di negara ini bukan yang dibeli dari ahli-ahli Pekema, kerana ahli-ahlinya akan mengalami kerugian besar jika berbuat demikian kerana menawarkan jaminan selama tiga tahun atas setiap unit kenderaan.

“Justeru, bagi menggelakkan tuduhan-tuduhan seperti itu berlanjutan dan menjejaskan perniagaan ahli-ahli Pekema, maka sistem dalam talian ini adalah jawapan yang paling tepat.

“Ini berikutan, pihak-pihak tidak bertanggungjawab tidak boleh lagi hendak menipu dokumen kerana semuanya perlu dikemukakan terlebih dahulu sebelum kenderaan import itu dibawa masuk ke negara ini.

“Untuk makluman, walaupun sistem ini dijalankan secara bersama dengan dua agensi kerajaan ia tidak memberi sebarang pengecualian kepada mana-mana ahli Pekema. Dalam kata lain, siapa yang tidak patuh atau melanggar peraturan, tidak layak menjalankan perniagaan kereta import di Malaysia,” katanya.