Ketua Pegawai Operasi NAZA Italia Sdn. Bhd., Farid Sulaiman berkata, sebanyak 209 unit LaFerrari Aperta dibangunkan syarikat dari Itali itu secara terhad bagi menghargai penggemar kenderaan jenama berkenaan di seluruh dunia.

“Model siri istimewa ini adalah versi spider edisi terhad yang mempunyai ciri eksklusif, berteknologi tinggi, mempunyai prestasi dinamik dan gaya unik yang dikhaskan untuk pelanggan istimewa Ferrari sepanjang tujuh dekat kewujudannya.

“Gabungan ciptaan dari Maranello, Itali yang terkini itu dibangunkan bersama pemanduan terbuka (open-top driving) serta enjin hibrid ber­kuasa 800 cv 6,262cc V12 dan 120 kilowatt mo­tor elektrik yang keseluruhan pengeluaran tenaganya sebanyak 963 cv,” katanya.

Beliau ditemui ketika menghadiri sambutan ulang tahun Ferrari ke-70 peringkat Malaysia yang diadakan di tapak Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) di Padang Kota Lama, di sini baru-baru ini.

Sambutan itu turut melibatkan 49 kereta Ferrari pelbagai model berkonvoi dari Kuala Lumpur dan membolehkan lebih 100 pengunjung dari dalam dan luar negara menggunakan kesempatan tersebut bergambar kira-kira pukul 1 petang.

Farid memberitahu, pihaknya turut mempamerkan LaFerrari Aperta dalam satu jamuan makan malam yang dianjurkan di Fort Cornwallis yang pemilihan tempat itu disifatkan sebagai penuh sejarah di negeri ini yang menjadikan sambutannya lebih berprestij.

“Sambutan yang dianjurkan setiap 10 tahun ini juga dianjurkan di beberapa negara bagi meraikan peminat tegar Cavallino Rampante (simbol Ferrari).

“Sebelum ini, Indonesia serta Thailand meraikannya, hari ini di Malaysia dan Singapura akan menjadi negara seterusnya,” jelas beliau.

Ketika ditanya jumlah unit model Ferrari yang terjual di negara ini, Farid memberitahu, lebih 300 unit Ferrari telah berjaya dimiliki individu pelbagai latar belakang di negara ini sejak 2009.