Grand Carnival itu didatangkan dengan reka bentuk yang menawan, tegap dan tampak garang terutamanya dengan jeriji Tiger Nose yang menjadi lambang identiti Kia di bawah pimpin­an Peter Schreyer.

Model lapan tempat duduk sepanjang 5,115 milimeter (mm), jarak roda sepanjang 3,060mm, ketinggiannya pula 1,740mm dan selebar 1,985 mm telah menjadikannya sesuai bagi mereka yang berkeluarga besar.

Sesuai sebagai MPV, segalanya tampak besar dengan jeriji Tiger Nose dipasangkan pula dengan lampu utama projektor halogen yang kelihatan menawan dengan lampu nyalaan siang (DRL) LED. Terdapat juga lampu kabus yang agak besar pada bampar.

Bahagian sisi pula menampilkan cermin tinted dengan cermin ketiga agak tirus. Garisan aerodinamik pada pintu ditarik memanjang ke belakang. Lampu belakang pula adalah jenis kombinasi LED berserta lampu kabus.

Secara sepintas lalu, rangka Grand Carnival seperti kotak besar yang diukir dengan sentuhan seperti sebuah MPV Eropah jika dibandingkan dengan MPV jenama-jenama lain walaupun ia dilahirkan di Korea Selatan.

Duduk sahaja di dalamnya, ia melahirkan pandangan yang luas selain kerusinya yang agak besar dan selesa. De­ngan kata lain, semuanya besar pada Grand Carnival ini. Malah, ruang letak barang di konsol tengah penumpang hadapan sangat besar dan dalam. Seolah-olah beg boleh disorokkan di situ.

Sebagai sebuah MPV besar yang agak berat, jurutera Kia memperlengkapkan model ini dengan enjin yang berkuasa diesel 2.2 liter CRDi Turbocharged. Enjin tersebut menghasilkan 193PS dengan kuasa kilas 440 Nm.

Dalam sesi pandu uji baru-baru ini, penulis mengujinya dari Bentong ke Janda Baik de­ngan kombinasi jalan berliku dan mendaki. Betul kata ‘Bos’ Naza Kia, Nazman SHC Yusof bahawa Grand Carnival adalah model yang berbeza daripada MPV lain.

Kuasa yang dihamburkan ke­tika mendaki di Janda Baik menghapuskan persepsi ia sebuah MPV yang berat. Pengendalian kuasanya boleh diibaratkan seper­ti sebuah kereta kecuali titik graviti yang tinggi menghadkan corak pemanduan.

Dari segi penumpang pula, Grand Carnival ini menekankan aspek keselesaan. Kontur tempat duduk yang mengikut bentuk badan dan corong pen­dingin hawa pada penumpang tengah dan belakang memberi keselesaan optimum.

Terdapat langsir pada cermin penumpang tengah dan belakang untuk menghadkan kema­sukan cahaya luar. Malah ruang kaki di tempat duduk ketiga agak luas, menghapuskan persepsi kerusi ketiga MPV yang kebanyakannya kelihatan sempit.

Apa yang lebih me­narik, ruang bagasi yang lebih luas. Terdapat ruang ba­wah pada bonet un­tuk lebih bagasi. Ia berbeza dengan MPV lain yang keba­nya­kannya agak terhad kerana digunakan untuk penyimpanan tayar.

Dengan kata lain, jika anda mahukan sebuah MPV yang sa­ngat luas dengan kombinasi kuasa, Kia Grand Carnival adalah jawapannya. Cuma penulis sedikit kecewa kerana jarak uji pandu untuk model ini agak pendek.