Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, atas sebab itu kerajaan sentiasa memberi sokongan untuk membantu dan menjalin kerjasama dengan persatuan motosikal berkuasa tinggi dalam pelbagai aktiviti.

Katanya, sokongan dan kerjasama itu wajar kerana jentera dua roda itu berjaya membantu menaikkan nama negara di mata dunia dengan pelbagai aktiviti hingga menarik perhatian ramai pelancong ke Malaysia.

“Dalam hal ini, kita boleh lihat apabila aktiviti yang paling digemari penunggang-penunggang motosikal berkuasa tinggi ialah mengembara ke pelbagai destinasi pelancongan negara.

“Aktiviti ini seperti serampang dua mata iaitu para penunggang dapat menikmati keindahan alam semulajadi sepanjang perjalanan seterusnya lokasi tersebut menjadi bualan ramai dan popular apabila masing-masing memuat naik gambar di laman sosial masing-masing,” katanya.

Beliau berucap demikian ketika merasmikan KL Bike Week 2016 di Lanai, Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), Jalan Ampang, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Yang turut hadir ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) kementerian, Datuk Rashidi Hasbullah, Pengasas KL Bike Week dan Red Garage Auto Sdn. Bhd., Eddie Iskandar Datuk Seri Abu Zahar dan Ketua Program KL Bike Week, Khaidiriah Datuk Seri Abu Zahar.

KL Bike Week 2016 akan diadakan pada 16 dan 17 Disember ini dijangka mampu menarik kehadiran seramai 30,000 pengunjung dari dalam dan luar negara.

Pelbagai aktiviti diadakan antaranya Batik Fun Ride bagi mempromosikan batik Malaysia dan Warrior Charity Ride iaitu mengumpul sumbangan hingga RM50,000 untuk disumbangkan kepada Tabung Pahlawan.

Sebagai tanda sokongan, Mohamed Nazri turut mengumumkan sumbangan RM30,000 kepada penganjur untuk menganjurkan KL Bike Week pada tahun depan dan memasukkan acara tersebut dalam kalendar tahunan kementerian.

Sementara itu, beliau berharap supaya semua penunggang motosikal berkuasa tinggi berupaya menjadi teladan yang baik kepada generasi muda untuk tidak terlibat dalam aktiviti merempit dan lumba haram.

Katanya, beliau yakin golongan berkenaan akan menanam impian untuk memiliki motosikal berkuasa tinggi apabila melihat penunggang hari ini menunggang secara elegen dan selamat.