Presiden Pekema, Datuk Zainuddin Abdul Rahman (gambar) berkata, kuota 250 AP motosikal yang diberikan kepada setiap pemohon dilihat terlalu banyak dan membebankan dalam situasi ekonomi global yang serba tidak menentu ketika ini.

Katanya, para pengimport motosikal kini berdepan situasi kelembapan ekonomi menyebabkan jumlah jualan motosikal berkuasa tinggi di pasaran tidak begitu menggalakkan.

“Walaupun dari satu sudut jumlah AP diberikan ini dianggap membantu peniaga motosikal berkuasa tinggi menjana pendapatan, namun dengan kadar jualan dan pasaran semasa yang serba tidak kondusif menyebabkan ramai peniaga tidak mampu memenuhi kuota yang diberikan.

“Keadaan ini secara tidak langsung menyebabkan para pemegang AP motosikal ini terpaksa gulung tikar kerana modal permulaan dan modal pusingan yang digunakan agak besar, namun prospek jualan tidak seperti diharapkan,” katanya ketika ditemui di pejabat operasi Zaibar Automobile Sdn. Bhd., di sini.

Zainuddin yang juga Pengarah Urusan Zaibar Automobile berkata, pihak kerajaan khususnya yang bertanggungjawab dalam memberi dan mengagihkan AP kepada usahawan bumiputera perlu mengkaji dan menilai semula kuota yang diberikan itu bagi memastikan ia bukan sahaja kondusif dalam membantu usahawan bumiputera.

Malah katanya, dasar dan polisi yang dilaksanakan itu mestilah mengambil kira keupayaan para peniaga dan keadaan ekonomi semasa bagi mengelakkan para pengusaha terlibat menanggung kerugian yang besar.

“Tidak dinafikan, terdapat ramai pengusaha atau peniaga motosikal berkuasa tinggi kini berdepan kekangan dan masalah menjana pendapatan malah jika keadaan ini berterusan, kami tidak menolak kemungkinan ramai daripada mereka terpaksa menutup operasi.

“Selain menghentikan operasi perniagaan, mereka juga terpaksa menanggung kerugian kerana stok motosikal yang dibawa masuk tidak terjual tetapi segala bentuk cukai dan caj perkhidmatan yang ditetapkan telah pun dibayar kepada pihak berwajib,” tegasnya.

Dalam pada itu, Zainuddin berkata, mulai tahun depan, ramai lagi pemain industri khususnya peniaga bumiputera motosikal berkuasa tinggi akan diwujudkan, namun mereka tidak dapat bersaing dalam pasaran ditambah pula dengan wujudnya pemegang francais motosikal tempatan yang menikmati pelbagai keistimewaan berbanding AP.

“Apa akan jadi jika keadaan ini berterusan? Kesannya adalah para peniaga yang memiliki AP bukan sahaja berdepan kerugian, malah harga jualan juga tidak mampu menandingi harga ditawarkan oleh FP kerana mereka ini boleh menikmati pelbagai kelebihan.

“Antara kelebihan itu termasuklah sifar cukai import, tidak perlu bayar deposit. Ini tidak sepatutnya berlaku.

“Pihak berwajib juga perlu lihat dan kaji semula berapa banyak AP motosikal yang telah terjual? Tidak sampai 20 peratus sahaja yang diimport namun dengan kuota bagi 250 AP ramai yang terperangkap,” katanya sambil menegaskan, dasar percukaian yang tinggi, akan menyebabkan mereka yang tidak mampu bayar akan terpaksa gulung tikar.