Di Malaysia, walaupun tidak banyak, jentera ini masih dapat dilihat menyelusuri jalan raya bersama dengan deruman enjin klasik yang cukup mudah dikenal pasti.

Bagi Roslan Mat Kasa, ia merupakan satu tuah kepada yang terpilih sahaja.

"Walaupun mempunyai wang ringgit yang banyak, tiada jaminan sesorang itu dapat memiliki motosikal ini kerana ia sangat jarang ditemui," kataRoslan sambil 'membelai' jentera perang BSA M21 tahun 1940 kesayangannya ini.

Tambah Roslan, motosikal itu yang diamanahkan oleh sahabatnya tidak lama dahulu, tidak ternilai dengan wang ringgit.

Jentera kesayangan Roslan ini telah melalui jalan yang sangat panjang sebelum sampai ke tangannya. Motorsikal ini diambil di Myanmar sebelum dibawa ke Kelantan untuk urusan pendaftaran dan seterusnya berpindah hak milik kepada pemilik di Kedah kemudian sampai ke Perak.

Motosikal ini dikatakan digunakan sebagai kenderaan pengiring orang kenamaan dan untuk penembak tepat bergerak melaksanakan operasi. Antara sebab mengapa ia dijadikan jentera untuk operasi tersebut adalah kerana keupayaannya yang tangkas dan laju. Sukar untuk model lain mendahuluinya.

Sepanjang motosikal ini menjadi miliknya, banyak kenangan manis yang telah dikecapi. Inilah yang menjadi 'chemistry' antara Roslan dan BSA M21. Menyedari betapa sukarnya untuk mencari 'rakan' yang sama model dengan jentera miliknya ini, BSA M21 ini dijaga bagai menatang minyak yang penuh.

Setiap persiapan yang disisipkan ke motosikal ini ditempa dengan baik sekali untuk mengekalkan keasliannya. Memang bagi segelintir peminat hiasan yang dipadankan memberi penampilan yang sangat garang namun hanya sebagai hiasan. Ada peristiwa yang menyebabkan Roslan ditahan - kerana perhiasan senapang yang diselitkan pada motosikalnya ketika konvoi ke Krabi tidak lama dahulu.

Roslan juga pernah ditahan oleh pasukan pengiring pemimpin di Thailand. Pada ketika itu sukar untuk menduga apakah kesalahan ketika itu tetapi sebenarnya pemimpin tersebut juga peminat jentera klasik. Itulah antara beberapa kenangan manis yang dikongsi bersama jentera klasik ini.

Demi kecintaan terhadap barangan klasik, Roslan membuka sebuah galeri yang diberi nama Koleksi Nusantara di Kampar, Perak. Selain itu, dia juga bergiat aktif dalam kelab Perak British Classic Malaysia yang menghimpunkan peminat motosikal klasik buatan Britain.

Setiap kali ditanya berapa harga motosikal ini jika mahu dijual, Roslan menjawab dengan harga yang tidak masuk akal. Dia berkata demikian kerana dia tidak berhajat untuk menjualnya malah akan disimpan sehingga akhir hayat untuk dijadikan bahan bukti untuk ditunjukkan kepada generasi akan datang. 
- Motormania