Cita rasa ini melambangkan minat ataupun antara cara mudah untuk dikenali. Misalnya, jentera drag yang kebanyakannya memaparkan nama bengkel ataupun pemilik jentera itu di samping penganjur yang memandang ini sebagai alat pengiklanan yang berkesan dalam segmen permotoran dan penanda aras segmen modifikasi yang tidak pernah berhenti berkembang.

Bagi pemilik Volvo 240 GL dari Kinrara, Puchong, Selangor, Saiful Nizam Yusof memilih untuk memadankan modifikasi keretanya dengan salah satu watak adiwira popular dari filem sains fiksyen, Transformers.

Watak adiwira yang memberikan inspirasi kepada Saiful Nizam, 38, untuk mengubahsuai kereta Volvo lama miliknya ialah Bumblebee iaitu robot berwarna kuning yang kurang bercakap tetapi tidak kering dengan telatah culasnya yang menghiburkan.

Bumblebee adalah salah satu makhluk asing yang datang ke Bumi untuk mencari suaka setelah planet asalnya dimusnahkan oleh musuhnya. Di awal filem, Bumblebee mampu berubah menjadi kereta Pontiac Firebird dan kemudian menjadi kereta yang sangat mengiurkan, Chevrolet Camaro berwarna kuning belang hitam yang sangat menonjol.

Bagi Salful Nizam, tidak tertakluk untuk memiliki Chevrolet Camaro ataupun Pontiac Firebird bagi memiliki Bumblebee.

"Ilham dari Bumblebee adalah sangat luas untuk diterokai dan saya sangat tertarik dengan warna kuning yang mengancam serta terang dapat menarik perhatian orang ramai di sepanjang laluan ulang alik dari tempat kerja," ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Bagi kereta Volvo GL yang bersesaran 2,400cc tahun 1984, nadinya yang sudah berusia lebih 30 tahun dirasakan sudah tidak mampu untuk memacu badan Volvo ini. Badan kereta ini seperti yang telah diketahui umum sememangnya terdiri dari keluli kerasa yang sangat lasak dan berat. Ini adalah ciri utama kereta eksekutif buatan Sweden sekitar tahun 1980 hingga 1988.

Nadi yang dipilihnya untuk menggantikan enjin lama adalah enjin RB25 berkelajuan manual dari model Nissan Skyline. Enjin ini memang terkenal dengan jolokan Racing breed sememangnya pilihan yang bertenaga untuk memacu badan Volvo yang berat ini.

Tujuan sebenar Saiful menukarkan nadi jenteranya ini adalah bukan untuk mendapatkan kuasa kuda ataupun semata-mata kerana 'gila kuasa' namun pilihannya ini turut bersifat ekonomikal.

Ini adalah kerana seperti yang diketahui umum, agak sukar untuk mendapatkan alat ganti tulin Volvo serta harganya kadang-kadang di luar kemampuan golongan marhaen yanag berpendapatan sederhana.

Jika sebelum ini ramai antara peminat kereta import selalu dimomokkan dengan harga alat ganti yang tidak masuk akal serta susah untuk mendapatkan khidmat pakar.

Ada benarnya kata-kata tersebut namun sekarang sudah ramai mekanik yang berkebolehan dalam 'mengubati' sakit kereta ini dan alat ganti boleh diperoleh dengan mudah di kedai potong yang semakin banyak umpama cendawan tumbuh selepas hujan.

Saiful Nizam memilih platfrom ini untuk modifikasi kerana dia ingin menonjolkan rupa tampil berkonsepkan Old School atau lebih dikenali sebagai 'oldskool' dalam dunia permotoran.

Volvo 240 GL bukan hanya diminati golongan berumur, malah mempunyai banyak peminat dalam kalangan orang muda kerana kelasakan serta keselesaan kenderaan tersebut.

Satu faktor yang banyak membantu Saiful dalam proses modifikasi kereta ini adalah kerjayanya sebagai juruteknik di Kakimoto Performance Parts.

Dengan latar belakang dalam bidang teknikal, dia mampu membuat sebarang pengubahsuaian yang dilihat sukar dilaksanakan orang lain.

Untuk pengubahsuaian yang telah dilakukan terhadap Bumblebee miliknya ini, dia telah melaburkan lebih dari RM50,000 dan dia tidak lokek untuk melabur lebih lagi bagi memenuhi kepuasan diri.

Saiful juga melibatkan diri dalam kelab permotoran Big Sumo Autoshow Komiti Malaysia sebagai platfom untuknya berkongsi pendapat serta turut serta dalam aktiviti berasaskan permotoran. Berasaskan platfom inilah Saiful dapat melibatkan diri secara terus dalam arena permotoran.

Kemanisan dan kepuasan dalam modifikasi makin bertambah apabila kereta Volvo miliknya berjaya merangkul hadiah utama bagi kategori standard terbuka kategori 'oldskool'.

Jika mempunyai masa lapang yang banyak, dia ingin menyertai seberapa banyak pertandingan autoshow seluruh negara bagi berkongsi modifikasi keretanya dengan orang ramai.

Saiful berharap agar lebih ramai peminat modifikasi berkonsepkan 'oldskool' meneroka idea-idea yang baharu sebagai usaha untuk memastikan arena permotoran dan juga modifikasi terus berkembang dan tidak lapuk dek zaman, tinggal kenangan.

"Marilah sama-sama kita mewujudkan suasana permotoran yang kondusif dan kompetitif supaya arena ini tidak terhenti dan terus berkembang hingga ke pentas dunia," katanya.