Ini kerana walaupun menanggung beban tambahan daripada bateri motor elektrik, teknologi baharu kereta hibrid berkenaan mampu menjana kuasa seakan enjin petrol biasa, malah lebih.

Jazz dan City Hibrid baharu tersebut masing-masing hadir dengan 67 dan 104 kilogram lebih berat berbanding varian asalnya, namun masih kekal memberikan prestasi yang cekap.

Tidak timbul sebarang ke­kurangan seperti enjin yang tersangkut-sangkut atau penukaran gear yang kurang lancar sepanjang penulis memandu ujinya ke Pantai Timur baru-baru ini.

Dinamakan sebagai Sport Hybrid i-DCD, sistem tersebut menggabungkan enjin 1.5 li­ter DOHC i-VTEC bersama motor elektrik dan bateri li­tium ion menerusi transmisi dwi-klaj tujuh kelajuan.

Integrasi berkenaan meng­­hasilkan capaian kuasa maksimum 137 hp dan kuasa kilas 170 Nm pada 2,000 rpm sekali gus menyampaikan prestasi yang menyamai kemampuan enjin 1.8 liter.

Secara amnya, kenderaan hibrid menggunakan lebih daripada satu sumber tenaga sebagai penggerak sama ada enjin petrol atau diesel bersama de­ngan sebuah bateri motor elektrik.

Disebabkan itu juga, kelebihan dan fungsi utamanya adalah mengehadkan penggunaan bahan bakar yang secara tidak langsung me­ngu­rangkan pe­lepasan karbon kepada alam sekitar.

Menjadi pilihan atas faktor menjimatkan per­belanjaan bahan api, City dan Jazz Hybrid secara purata mampu mengembara sejauh 100 kilometer dengan hanya sekitar empat liter petrol.

Kecekapan bahan api itu hasil daripada penukaran penggunaan enjin kepada motor elektrik secara automatik yang kuasanya dicas sendiri oleh enjin ketika memandu atau membrek.

Enjin akan tertutup semasa kenderaan berhenti dan seterusnya mampu untuk dipandu dengan tenaga elektrik sepenuhnya jika kapasiti bateri melebihi 50 peratus sebelum enjin masuk.

Dalam mod cekap tenaga, anda boleh memecut hingga 80 kilo­meter sejam sementara dalam kelajuan rendah, bateri mampu bertahan untuk pemanduan sejauh dua kilometer sebelum habis.

Selain itu, sistem pembrekan kedua-dua model itu turut dinaik taraf dengan elektrik servo baharu yang memacu keupayaan penjanaan semula tenaga dan pemampat berasaskan elektrik.

Meskipun menerima talaan yang lebih sporty, tiada kit istimewa yang lebih garang disertakan sekali bagi reka bentuk luarannya. Ia bagaimanapun masih kelihatan bergaya dan menarik.

Rekaan dalamannya pula sa­ngat kemas, luas dan selesa namun tidak terlalu premium kerana hibrid tersebut dicipta sebagai kenderaan cekap tenaga yang mampu milik di bawah RM90,000.

Honda sebenarnya berjaya mengatasi satu kelemahan utama dalam kereta hibrid iaitu harga yang tinggi. Jika sebelum ini ha­nya golongan tertentu mampu memilikinya, tidak lagi sekarang.

Jazz Hybrid berharga RM87,500 sebuah sementara City Hybrid pula RM89,200. Ditambah penggunaannya yang menjimatkan terutama dalam jangka masa panjang, ia pasti menjadi pilihan.

Tiada penyelenggaraan istimewa untuk hibrid itu kerana sistemnya dibina dengan cara tertutup sekali gus tidak memerlukan sebarang servis atau penukaran komponen secara berkala.

Lebih menarik, bate­ri litium ion itu disertakan jami­nan lapan tahun tanpa had perbatuan. Malah kos untuk menukarnya juga hanya RM5,513, jauh lebih murah berbanding jenama lain.

Apa yang jelas, hibrid membawa industri automotif melalui tempoh peralihan ke arah alternatif yang lebih mesra alam selari de­ngan hasrat kerajaan menjadikan negara hab kenderaan cekap tenaga.