Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Logo Kaji Selidik Pembaca

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

 3

MASJID Tengku Tengah Zaharah atau lebih popular dengan panggilan Masjid Terapung merupakan mercu tanda bandar Kuala Terengganu serta antara ikon pelancongan menarik di Terengganu.

Malah masjid itu bukan hanya terkenal dengan seni binanya yang indah, malah salah seorang imam masjid itu, Ahmad Ridhwan Md. Radzi juga popular kerana terlibat dalam sukan permotoran.

Ahmad Ridhwan, 30, menjadi imam masjid tersebut sejak 2011, setahun selepas menamatkan pengajian dalam jurusan hifzul wal qiraat dari Universiti al-Azhar, Mesir. Beliau mula terlibat secara aktif dalam sukan permotoran sejak 2014.

Beliau merupakan antara peserta wajib dalam perlumbaan drag dan masa terbaik yang diadakan di Litar Antarabangsa Gong Badak, Kuala Terengganu.

Bapa kepada tiga orang anak itu bukan sekadar menyertai pertandingan sebagai pelengkap, malah kerap memenangi perlumbaan drag kategori N/A. Dalam perlumbaan masa terbaik pula, beliau sering menaiki podium.

Menurut Ahmad Ridhwan, beliau meminati sukan permotoran sejak pada usia kanak-kanak lagi.

“Ramai meminati sukan permotoran. Kalau tanya ustaz-ustaz lain, mereka pun minat cuma mereka taklah sampai berlumba macam saya.

“Tak salah untuk terlibat dalam hobi ini selagi kita tidak mengabaikan tanggungjawab kita kepada Allah SWT terutama solat.

“Rasulullah SAW menjelaskan bahawa ada empat perkara yang boleh membawa kebahagiaan kepada orang mukmin iaitu wanita yang baik, tempat tinggal yang luas, jiran yang baik dan kenderaan yang baik,” katanya.

Tambah beliau, setakat ini tidak ada orang memandang serong penglibatannya dalam sukan permotoran kerana mereka memahami bahawa hobi itu bukanlah sesuatu yang haram di sisi Islam.

“Perlumbaan di Litar Antarabangsa Gong Badak termasuk dalam kalendar Visit Terengganu 2017 bagi mempromosikan sukan permotoran di negeri ini,” katanya.

Menceritakan kenangan yang paling tidak dapat dilupakannya sepanjang terlibat dalam sukan permotoran, Ahmad Ridhwan memberitahu dia pernah berlumba dengan memakai jubah.

“Pernah sekali dalam acara masa terbaik, saya pakai jubah sebab tak sempat tukar baju. Kebetulan ada perlumbaan pada hari saya bertugas, saya masuk juga perlumbaan dengan memakai jubah dan topi keledar. Saya buat “kering” sahaja.

“Janji dapat berlumba. Kalau tengok sahaja, tak seronoklah,” katanya.

Meskipun ada dalam kalangan anggota masyarakat memandang negatif terhadap “mat kereta” dan “mat motor”, Ahmad Ridhwan suka melihat sukan permotoran dari sudut positif.

Katanya, menerusi sukan permotoran, seseorang dapat meramaikan kenalan dari seluruh negara yang berkongsi minat sama.

Ujarnya, antara manfaat daripada mempunyai kenalan yang ramai ialah mudah mendapat bantuan jika kereta mengalami masalah di tengah jalan dan harga diberikan oleh bengkel juga berpatutan.

“Sejak terlibat dalam sukan permotoran, saya mengenali ramai pelumba termasuk bukan Melayu. Di Terengganu, sudahlah tidak ramai orang bukan Melayu, yang terlibat dalam sukan permotoran pun sedikit.

“Jadi, penglibatan saya dalam sukan permotoran memberikan peluang untuk mengenali lebih ramai pelumba bukan Melayu. Ini baik untuk perpaduan rakyat Malaysia,” ujarnya.

Menurut beliau, sukan permotoran adalah satu aktiviti yang sihat jika dilangsungkan di dalam litar. Katanya, sesetengah orang memandang serong terhadap sukan permotoran kerana sikap sebilangan pemilik kenderaan yang berlumba secara haram sehingga menyusahkan orang lain.

Baru-baru ini, Ahmad Ridhwan memenangi pertandingan drag sempena sambutan Hari Kemerdekaan 2017 di Litar Antarabangsa Gong Badak.

Beliau menyifatkan kemenangan tersebut sebagai rezeki anak ketiganya yang dilahirkan tiga minggu lalu.

“Hadiah kemenangan itu cukuplah untuk saya beli seekor kambing untuk buat akikah anak saya itu,” katanya.

Artikel Berkaitan
Artikel Lain
Video Pilihan