Bagi pemerhati dan penganalisis industri automotif, Hyundai telah membuat perubahan besar kepada produknya bagi menyamai kualiti bukan sahaja kereta buatan Jepun tetapi juga Eropah.

Ini dapat dilihat jelas kepada model Elantra generasi keenam yang mula dijual di pasaran Malaysia pada Jun lalu yang terdiri daripada tiga varian iaitu varian asas GLS 2.0 Executive dengan harga tanpa insurans RM116,388, varian pertengahan GLS 2.0 Dynamic (RM120,588) dan juga varian tertinggi Sport 1.6 Turbo (RM131,488).

Keunikan ketiga-tiga varian ini, kesemua tidak sama! Bagi varian asas Executive, ia dipasang jeriji hadapan dengan lapisan krom meliputi jalur sekeliling serta lampu kabus bersama kemasan perumah berbentuk-C. Ia turut diberikan lampu hadapan projektor halogen dengan lampu nyalaan bina dalam.

Varian Dynamic pula tidaklah jauh sangat beza dengan Executive, Cuma ia dilengkapi kit badan yang lebih agresif meliputi apron pada bampar hadapan dengan lampu nyalaan siang, skirt sisi, serta kemasan ala-diffuser bersama tip ekzos krom berkembar palsu pada bampar belakang.

Bagi varian Sport, ia memiliki jeriji hadapan lebih garang de­ngan jalur sekeliling berwarna hitam, jalur melintang tidak menerima salutan krom sepenuh­nya bersama logo ‘turbo’. Lampu nyalaan siang berasingan standard diberikan pada bahagian atas panel air curtain bersama kemasan krom berbentuk-C. Lampu hadapan pula diberikan lampu HID dengan elemen jalur merah di dalamnya (ia tetap merah tidak kira warna badan apa yang anda pilih).

Bahagian dalaman Executi­ve dipasang salutan gabungan sued dan juga kulit pada tempat duduk dengan benang merah timbul. Kemasan sued juga diberikan pada panel tertentu pada pintu, manakala gaiter tuil gear dan juga roda stereng pelbagai fungsi dibalut dengan kulit bersama jahitan benang merah.

Secara keseluruhan, kualiti material untuk pembuatan kom­ponen-komponen bahagian da­laman Elantra boleh menyaingi kereta Jepun. Tetapi dari segi rekaan, bahagian dalaman Elantra ini masih lagi bersifat tradisional. Jika Civic mempunyai bentangan meter digital, Mazda 3 mempunyai paparan head-up yang dipaparkan pada cermin kahs boleh-lipat, Elantra pula hanya menampilkan paparan meter analog.

Namun untuk tidak kelihatan terlalu tertinggal, ia tetap diberikan skrin pelbagai informasi TFT LCD pada bahagian tengah antara meter kelajuan dan takometer.

Dari segi ruang dalaman, serombong pendingin hawa diberikan secara standard untuk semua varian. Tetapi, Hyundai tidak memadankan sebarang soket 12V mahu pun port USB untuk kegunaan bahagian ini.

Ciri lain yang diberikan pada model 2.0 Executive dan Dyna­mic termasuk sistem kunci pintar dengan suis penghidup enjin, cermin pandang belakang malap automatik, pendingin hawa manual dengan liang kabin belakang, tempat duduk pemandu larasan berkuasa lapan-hala, pengimbas undur, sistem infotaimen dengan skrin sesentuh tujuh inci dan sambungan Bluetooth, CarPlay dan Android Auto, kamera undur dan sistem pemerhati tekanan angin tayar.

Elantra Executive dan Dyna­mic dijana enjin 2.0 liter NA empat silinder Nu MPI menjana 152 PS pada 6,200 rpm dan kuasa kilas maksimum 192 Nm pada 4,000 rpm dan dipadankan bersama kotak gear automatik torque converter konvensional enam kelajuan. Gandingan ini membolehkan Elantra mencapai penggunaan bahan api 7.2 liter untuk setiap 100 km perjalanan (kitaran NEDC), menurut Hyundai.

Ringkasnya, Elantra adalah alternatif kepada anda yang mungkin sudah bosan dengan kereta-kereta buatan lain tetapi tetap memberi kepuasan daripada segi penggayaan dan prestasi.