Terdapat empat varian iaitu 1.5L Turbocharged Premium dijual pada harga RM167,700; 1.5 Turbocharged 4WD (RM161,600); 1.5L Turbocharged 2WD (RM155,700) dan 2.0L 2WD (RM142,400), tidak termasuk insurans.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Katsuto Hayashi berkata, bahagian hadapan CR-V generasi kelima tersebut mempunyai rekaan solid wing pada bampar hadapan dengan garis badan yang simetri membuatkan model itu kelihatan lebih kemas dan bergaya.

Katanya, penampilan SUV itu disempurnakan lagi dengan lampu utama, lampu nyalaan siang, lampu belakang dan brek serta lampu kabus menggunakan diod pemancar cahaya (LED) bagi memberikan pencahayaan lebih baik dan jelas.

“Bagi ruangan dalaman pula, kabin CR-V menawarkan ruang lebih luas kepada penumpang kerana mempunyai ruang kelegaan kaki sebanyak 90 milimeter (mm). Selain itu, tempat duduk belakang juga boleh dilipat rata bagi memberi lebih ruang untuk kargo sehingga 1,084 liter dan kami telah menjadikannya 250mm lebih luas berbanding mo­del sebelumnya.

“CR-V mempunyai pintu belakang berkuasa yang boleh diprogramkan bagi memudahkan pemilik mengawal ketinggian dan jarak bukaan. Kesemua varian CR-V dilengkapi paparan audio bersaiz tujuh inci dan boleh digunakan bersama Apple CarPlay dan Android Auto,” katanya dalam majlis pelancaran Honda CR-V di sini hari ini.

Tambah Hayashi, CR-V ini turut ditingkatkan dengan Brek Meletak Kenderaan Elektronik (EPB) bagi menggantikan brek tangan dan kaki tradisional serta Pegangan Brek Automatik (ABH) yang membantu memudahkan pemanduan ketika berada dalam kesesakan trafik.

“Ciri-ciri baharu ini membolehkan lebih banyak ruang di bahagian konsol sehingga boleh meletak komputer riba 13 inci atau beg tangan bersaiz sederhana,” ujarnya.

Menurut Hayashi, CR-V menerima peng­iktirafan lima bintang daripada ASEAN NCAP kerana memi­liki pelbagai ciri ke­selamatan canggih se­perti Honda Sensing yang mengan­dungi tu­juh ciri utama iaitu Adaptive Cruise Control (ACC), Sistem Mengekor Ke­lajuan Rendah (LSF), Sis­tem Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW), Sistem Brek Menghindari Pelanggaran (CMBS), Bantuan Kekal Lorong (LKAS), Sistem Amaran Pertukaran Lorong (RDM) dan Amaran Keluar Lorong (LDW).

Honda Malaysia menyasarkan jualan sebanyak 700 buah CR-V serba baharu setiap bulan dengan jualan varian 2.0L 2WD dijangka menyumbang 34 peratus berbanding varian lain.