Menariknya, BR-V merupakan sebuah model pemasa­ngan tempatan (CKD) dari kilang Honda Malaysia di Melaka de­ngan hampir 80 peratus daripada komponen yang digunakan adalah produk buatan negara ini.

Disebabkan itu, menjadi tarikan utama bagi kedua-dua va­rian E dan V yang ditawarkan di pasaran tempatan adalah har­ganya yang masih mampu milik masing-masing pada RM85,800 dan RM92,800 sebuah.

Semasa mengikuti sesi pandu uji BR-V ke Pulau Mutiara ming­gu lepas, penulis dimaklumkan oleh Honda Malaysia bahawa tempahan untuk model itu mencecah sebanyak 8,700 buah ketika itu.

Ia adalah satu pencapaian yang mengagumkan kerana model tersebut hanya diperkenalkan dalam pasaran tempatan untuk tempoh dua bulan, malah ia telah jauh melangkaui sasaran asal Honda Malaysia.

BR-V sebenarnya adalah sebuah kenderaan untuk keluarga yang gemar mengembara. Tidak kira sama ada di jalan raya di bandar atau luar bandar, ia direka dengan keupayaan lasak, namun kekal tangkas.

Dari segi reka bentuk luaran, BR-V ternyata elegan dan kemas. Ini sememangnya simbol jenama Honda sendiri yang tidak pernah mengecewakan kerana kenderaannya sentiasa kelihatan bergaya.

Dikuasakan oleh enjin serupa dengan City dan Jazz iaitu SOHC i-VTEC empat silinder 16 injap, BR-V bukanlah dicipta untuk kepantasan, tetapi ia tetap mampu membawa penumpang dan muatan penuh dengan cekap.

Dipadankan bersama sistem transmisi CVT, Earth Dreams Technology dan Eco indicator, enjin tersebut menawarkan pemanduan yang responsif de­ngan lebih kilometer untuk setiap li­ter bahan api.

Beralih kepada rekaan dalam­an, BR-V dilengkapi dengan bahan dan tekstur berkualiti tinggi. Ruangan kabinnya yang selesa dan praktikal adalah sinonim bagi Honda untuk memberi kese­lesaan kepada pemiliknya.

Masuk ke dalam BR-V, anda pasti kagum dengan betapa luasnya ruangan dalaman kende­raan itu walaupun ruangan kaki bagi barisan kedua dan ketiga sedikit terhad buat penumpang yang tinggi.

Selain itu, bunyi enjin yang kuat juga kurang memasuki ruang kabin. Papan pemuka BR-V versi Malaysia pula diberi sedikit sentuhan yang mengekang bunyi daripada masuk ke dalam kenderaan.

Seperti model lain, Honda amat mementingkan aspek keselamatan dalam setiap kenderaannya. BR-V dilengkapi dengan piawaian keselamatan yang menerima penarafan lima bintang oleh ASEAN NCAP.

Fungsi seperti Bantuan Mula Mendaki (HSA), Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA), Sistem Brek Anti-Kekunci (ABS), Pengedaran Brek Elektronik (EBD) dan kamera undur ba­nyak membantu mengelakkan kecelakaan.

Ditambah pula dengan pakej-pakej aksesori tulen oleh Honda iaitu Modulo, Urban atau Utility, pengguna berpeluang mendapatkan BR-V dalam bentuk inovasi yang lebih Sporty mengikut kemampuan.

Dengan semua ciri-ciri itu, BR-V dilihat sebagai pencabar utama kepada Toyota Sienta, Proton Ertiga, Nissan Grand Livina dan Perodua Alza yang semuanya adalah model kende­raan pelbagai guna (MPV).

Dalam erti kata lain, sambutan hebat BR-V di Malaysia adalah tidak mengejutkan kerana ia disokong oleh keupayaannya yang versatil memenuhi keperluan segenap lapisan masyarakat masa kini.

Kedua-dua varian BR-V ditawarkan dalam lima pilihan warna berbeza iaitu Lunar Silver Metallic, Modern Steel Metallic, Taffeta White, Golden Brown Metallic dan Dark Ruby Red Pearl.