Namun bagi Muhammad Danial Nazlan, pemilik sebuah jentera idaman yang turut menjadi kegilaan kepada penggemar jenama Toyota dan Subaru. Jika dinilai dari segi faktor tenaga dan kuasa yang dijana enjin FA20D boxer tanpa pendesak paksaan hanya sekadar cukup makan namun dari segi bentuk badan, sangat mengiurkan.

Hasil gabungan

Jentera ini mempunyai beberapa nama timangan iaitu Toyota GT86, Subaru BRZ dan Scion FRS. Ini adalah berikutan dengan tujuan penjelmaan semula model legenda dalam pengendalian dan dunia drift, Toyota AE86. 

Model idaman ramai drifter dan penggemar arena drift ini merupakan hasil gabungan teknologi dari dua pengeluar automotif yang ternama dunia iaitu Toyota dan Subaru.

Gabungan ini dapat merealisasikan model yang mendapat inspirasi dari model Toyota AE86 ini dengan pembelian saham syarikat pembuat model Subaru iaitu Fuji Heavy Industry (FHI) oleh Toyota.

Gabungan ini menyaksikan satu bentuk perkongsian teknologi yang memberi kepuasan kepada peminat-peminat dua jenama ini.

Kereta ini menggunakan enjin boxer dengan bentangan mendatar empat silinder yang memang diketahui ramai mempunyai pusat graviti yang rendah berbanding dengan enjin jenis lain serta trademark produk Subaru.

Boleh dikatakan hampir semua sistem transmisi dan pacuan model ini menggunakan teknologi Subaru.

Kelebihan ini menjadi satu ciri yang sangat diidamkan oleh Danial kerana ia sebuah kenderaan hasil kombinasi teknologi yang sangat mengagumkan.

Semua teknologi perlumbaan dan drift yang dimiliki Toyota dan Subaru dimuatkan ke dalam sebuah jentera buas yang menunggu masa untuk keluar dari sangkar bilik pameran.

Sebelum ini, Danial telah memiliki beberapa buah kereta seperti Audi TT, Honda CRZ, RX8 namun tiada satu pun mampu menandingi keupayan kereta ini.

"Tenaga yang dihasilkan enjin ini sudah cukup memadai untuk memecut selaju 230km/j dan saya tidak bercadang untuk menukar nadi kereta ini, cukuplah setakat mana yang ada," ujar Danial berasal dari Kuala Lumpur.

Setakat ini, Danial berpuas hati dengan kemasan dan juga tenaga yang dipadankan dengan kereta ini.

Perincian

Serba sedikit tentang pemilik jentera ini, Danial seorang yang sangat meminati kereta. Baginya, setiap produk keluaran pembuat kereta tidak kira apa jenama sekalipun, adalah seni.

Seni tentang kelajuan dan padanan teknologi serta rupa tampil yang memberikan pelbagai gambaran kepada pemilikinya.

Danial merupakan seorang yang sangat mementingkan persembahan rupa tampil kereta miliknya ini. Dia akan sentiasa memastikan setiap ruang dan bucu akan dicuci setiap kali di hantar ke tempat cuci kereta.

Dalam masa yang sama dia juga memperelokkan lagi trampilan dalaman dengan kemasan carbon fiber untuk menyerlahkan lagi peralatan dalam kereta agar sedap mata memandang.

Apabila ditanya adakah dia berpuas hati dengan model ini Danial bingkas menjawab;

"Biarpun sudah memiliki kereta idaman sejak sekian lama, saya masih mempunyai target model idaman iaitu sebuah Porshe GT3, namun untuk memenuhi cita-cita ini saya sedar saya perlu berusaha dengan lebih kuat lagi," kata Danial.