Definasinya sangat luas dan tiada prejudis. Hanya pengikut sesuatu cabang permotoran selalu menghukum pengikut aliran seperti peminat sukan drag kepada peminat pameran auto (autoshow).

Perkara sebegini adalah ketara jika kita imbau sejarah tetapi situasi sekarang sudah berubah ke arah yang lebih positif. Bagi seorang penggiat arena autoshow tempatan, Haszrul Hisham Hashim, 34, persekitaran dunia permotoran sekarang adalah lebih baik berbanding masa dahulu.

Haszrul atau lebih dikenali sebagai Jeroll dalam kalangan penggiat autoshow berkata, banyak perubahan berlaku dalam arena permotoran yang menyumbang kepada keterbukaan minda dan penerimaan yang lebih positif masyarakat zaman kini.

“Sebelum ini, banyak tohmahan melulu dilemparkan kepada sesiapa sahaja yang cenderung ke arah permotoran biarpun dalam bentuk perniagaan. Persekitaran dalam permotoran sedikit sebanyak berubah menjadi matang setelah mendapat perhatian banyak pihak termasuk kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Walaupun tidak menyeluruh, perhatian tersebut mengubah persepsi masyarakat kepada lebih menerima berbanding hanya menempelak tanpa asas yang munasabah,” katanya.

Jeroll yang bekerja sebagai penjawat awam di Johor Bahru, Johor, bergiat aktif dalam kelab ProCC MOtorsport dan selalu menyertai pertandingan autoshow yang dianjurkan di selatan tanah air.

Bagi Jeroll yang meminati seni dan kreativiti, autoshow menyediakan ruang untuk berkongsi minat melalui platfom Proton Wira Aeroback yang menjadi ikon produk buatan tempatan.

Katanya, ciri-ciri utama kereta tahun 2005 itu yang mempunyai potensi pengubahsuaian yang sangat luas di samping tenaga yang dijana enjin 1,500cc sudah memadai untuk memecut di atas jalan raya dan alat ganti tulen mudah didapati dengan harga yang berpatutan.

Sifat enjin 1,500cc ini sangat praktikal dan ekonomikal. Ia mampu memecut dan ini sudah cukup memadai untuk kegunaan saya,” katanya.

Rekabentuk Proton Wira Aeroback juga sedikit berbeza dengan produk keluaran Mitsubishi yang sinonim dikenali model kembar hasil perkongsian teknologi di awal penubuhan Proton suatu ketika dahulu.

Tema

Dalam mengubahsuai keretanya, Jeroll mengenakan konsep dan tema yang cukup mudah dikenali, iaitu dari model Mitsubishi Evolution 10, model yang cukup sinonim dengan dunia rali dan kelajuan.

Pintu kereta itu telah ditukar kepada pintu gunting di mana daun pintu dibuka bukan dari tepi kereta tetapi ke bahagian atas kereta. Dia juga memadankan sayap GT perlumbaan untuk menaikkan imej perlumbaan di samping membantu dari sudut aerodinamik kereta tersebut ketika memandu laju.

Ubahsuai kereta tersebut tampak ekstrem apabila ciri-ciri lebar dikenakan ke atas dengan penambahan arch-body yang boleh memuatkan rim bersaiz lebar.

Di samping itu, pemasangan lampu LED berwarna hijau menyerlahkan penampilan kereta tersebut ketika beraksi di pameran autoshow. Sistem audio yang berkuasa tinggi turut dipasang bagi mengalunkan lagu kegemaran Jeroll dalam pertandingan yang disertai.

Setakat ini, Jeroll telah membelanjakan lebih RM30,000 dalam merealisasikan projek ke atas kereta kesayangannya itu dan dia mendapat sokongan sepenuhnya dari isteri tercinta, keluarga dan juga kawan-kawan.

Berkenaan penglibatannya dalam aktiviti kelab permotoran, Jeroll menyifatkan perjalanan yang dilaluinya sebagai zero to hero, iaitu bagaimana dia bermula dengan kereta standard dan kemudian berubah menjadi jentera yang diubahsuai secara ekstrem sehingga dikenali orang ramai.

Jeroll berharap senario autoshow tempatan mampu berubah dan menjadi setanding dengan nama-nama acara besar dari luar negara seperti ‘Tokyo Motor Show’ dan ‘Austin Auto Show yang mendapat perhatian dunia kerana ia mampu mengangkat martabat arena permotoran di Malaysia ke satu tahap yang lebih tinggi.