Kalau ada pun, bilangannya boleh dibilang dengan jari dan jika kebetulan jumlahnya banyak, mereka sememangnya ahli kelab atau peminat tegar jenama berkenaan.

Mungkin kurangnya promosi membuatkan keadaan itu berlaku, padahal Suzuki mempunyai barisan jentera yang cukup hebat dan tercatat dalam sejarah permotoran sama ada pembuatan atau perlumbaan.

Antaranya, model GSX-S1000 yang diberi kesempatan oleh Suzuki Assemblers Malaysia Sdn. Bhd. untuk ditunggang uji penulis pada kali ini.

Pada pandangan pertama ketika mengambilnya di premis pengedar Suzuki, CA Cycle Advance (Kajang) Sdn. Bhd., jentera ini cukup menawan dari segi reka bentuk yang tampak sporty.

Ditampilkan dengan warna terang serta bunyi ekzos yang garang meskipun standard, menyerlahkan lagi kehadirannya di mana-mana.

Menyusuri pekan Kajang pada waktu puncak selepas dibawa keluar dari bilik pameran, penulis pada mulanya rasa kekok.

Meskipun mencelah antara deretan kenderaan tiada masalah, namun penulis tetap merasakan yang enjin 999 cc 4-lejang ini seperti tidak ‘lancar’.

Walau bagaimanapun, masa­lah itu lenyap sebaik sahaja memasuki Lebuh Raya Cheras-Kajang (Grand Saga).

Selepas dipulas pendikit dengan agresif dan memecut laju, baharulah mula terasa kehebatan motosikal buatan Jepun ini.

Rupa-rupanya GSX-S1000 tidak suka ‘dimanjakan’!

Karakter sedemikian sememangnya tidak menghairankan kerana jentera ini dihasilkan daripada ‘gen’ GSX-R1000, iaitu model yang pernah menjuarai banyak perlumbaan termasuk World Superbike Championship pada 2005.

GSX-S1000 dibangunkan daripada komponen utama dan enjin yang sama dengan GSX-R1000.

Jika GSX-R1000 menjuarai trek lumba, GSX-S1000 pula mungkin layak digelar raja jalan raya.

Bagi yang ‘hati kering’, mungkin jentera ini mampu memenuhi kehendak mereka jika mahukan cabaran adrenalin tahap maksimum!

Penulis sendiri pun cukup ‘gerun’ dengan terjahan dan kuasa luar biasa pada enjinnya. Pelbagai lebuh raya penulis lalui seperti Grand Saga, Lebuh Raya Utara Selatan dan Le­buh Raya Cheras-Kajang.

Begitu juga laluan-laluan lama seperti Jalan Seremban-Tampin, Jalan Melaka-Karak dan Jalan Kuala Pilah-Seremban. Tiada masalah dengan jentera ini, malah bagi penulis, ia lebih sesuai dan berkesan sekiranya ditunggang secara agresif.

Ketika ‘melayan’ laluan berselekoh, prestasi GSX-S1000 boleh dikatakan cemerlang.

Dengan berat 209 kilogram (kg.), dipasang pula handlebar jenis Renthal Fatbar yang ringan dan mengurangkan gegaran, ditambah posisi mendekam si penunggang selain sistem brek antikekunci (ABS), jentera ini ‘meliang-liuk’ ke kiri dan ke kanan dengan mudah.

Mulalah penulis berangan persis seorang pelumba trek.

Bagi membantu penunggang mengawal jentera dengan penuh keyakinan dalam apa juga keadaan, GSX-S1000 dilengkapi de­ngan sistem kawalan cengkaman (TRC) de­ngan tiga pilihan mod.

Mod 1 adalah untuk tunggangan agresif; mod 2, laluan biasa manakala mod 3 bagi keadaan cuaca buruk seperti hujan.

Dari segi susun atur elektronik pada papan pemuka, segala maklumat yang diperlukan oleh penunggang dapat dibaca dengan mudah menerusi paparan cecair kristal (LCD). Sememang­nya GSX-S1000 direka untuk tunggangan agresif namun, pada masa sama memastikan si penunggang berada dalam keadaan selesa.

Terdapat tiga pilihan warna menarik iaitu merah, biru dan kelabu. Dengan harga RM69,900, anda kini berpeluang memiliki sebuah ‘jentera lumba’!