Persepsi itu mungkin ada kebenarannya, namun tidak semua barangan dari negara yang terkenal dengan Tembok Besar yang dipasarkan di negara ini kurang berkualiti.

Lebih-lebih lagi apabila kerajaan melaksanakan dasar duti sifar beberapa tahun lalu telah memberi peluang kepada produk China untuk bersaing dalam pasaran yang lebih luas di sini.

Pengarah Eksekutif Go Auto, Datuk SM Azli SM Nasimuddin Kamal berkata, syarikatnya antara yang menyahut cabaran membawa masuk kereta buatan China jenis kenderaan utiliti sukan (SUV) Haval iaitu M4 pada 2014 dan H2.

Katanya, beliau yakin membawa masuk H2 ke pasaran negara ini pada hujung Mei lalu selepas kenderaan tersebut berjaya menduduki tempat pertama hampir 10 tahun di China dengan jualan ratusan unit sebulan.

“Ramai yang tidak mengetahui produk China bukan semuanya berkualiti rendah, sebenarnya terdapat beberapa peringkat iaitu kualiti rendah, sederhana dan tinggi.

“Haval ini singkatan kepada Have All, bersesuaian dengan ciri-ciri yang terdapat pada kereta ini iaitu enam beg udara, sistem pengurusan tayar yang dapat memudahkan pengguna untuk memastikan jumlah angin setiap tayar,” katanya.

Jelas beliau, seluruh kakitangan Go Auto juga kini agresif melaksanakan pelbagai aktiviti pemasaran bagi mengubah persepsi masyarakat terhadap kenderaan buatan China.

“Sebelum kita memperkenalkan H2 ke Malaysia, kita telah membuat siri latihan teknikal dan produk sebab kita akan turun padang bertemu dengan para pelanggan. Langkah ini bagi memastikan mereka betul-betul faham mengenai H2.

“Untuk makluman, buat masa ini kita telah mempunyai sebanyak 36 pengedar di seluruh negara malah kita turut melantik pengedar satelit di Sabah dan Sarawak iaitu di bawah mereka terdapat beberapa pengedar kecil lain,” ujarnya.

Tambah SM Azli, H2 mampu menarik perhatian pasaran Malaysia kerana beberapa ciri antaranya adalah menawarkan kapasiti enjin kereta yang rendah sekali gus membolehkan penjimatan cukai jalan dan penggunaan petrol.

“Bagi menjaga kepercayaan pelanggan, kami sedang membawa masuk barang ganti untuk kenderaan H2 dan kini 85 peratus barang ganti M4 telah berjaya dipenuhi. Malah, kami menyasarkan pelanggan hanya perlu menunggu dalam tempoh yang singkat jika berlaku sebarang masalah pada kenderaan mereka.

“Kami juga telah melakukan kajian sejak 2013 mengenai harga servis dan Go Auto berada di tahap kelima yang paling murah misalnya servis tukar minyak hitam yang biasa sekitar RM215 yang mampu bertahan hingga 10,000 kilometer,” katanya.