Ketua Pegawai Eksekutif Go Auto, Ahmad Azam Sulaiman berkata, usaha tersebut seiring dengan wawasan Go Auto untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pemasangan kenderaan utiliti sukan (SUV) Haval berstatus EEV (kenderaan cekap tenaga) bagi pasaran ASEAN.

Beliau berkata, kemasukan Go Auto dan Haval ke pasaran Batam berjaya dilaksanakan seperti yang dirancang selepas berjaya menembusi pasaran Kemboja dan Brunei.

“Sebagai permulaan, model H1, H2 dan H8 akan dilancarkan di Batam. Kami menyasarkan untuk menjual sebanyak 400 buah kenderaan Haval pada tahun ini.

“Sehingga kini, kami telah menerima tempahan hampir 100 buah kenderaan untuk pasar­an Batam dan optimis jumlah berke­naan akan terus meningkat selepas dilancarkan secara rasmi,” katanya dalam kenyataan di sini baru-baru ini.

Tambah Ahmad Azam, Go Auto merancang untuk menembusi pasaran beberapa negara ASEAN lagi seperti Vietnam, Filipina dan Myanmar selewat-lewatnya pada tahun hadapan.

Katanya, Singapura juga me­nunjukkan minat untuk membawa masuk jenama Haval ke pasaran mereka.

“Permintaan dari Singapura sangat menarik dan kemasukan Haval ke negara itu akan menjadi penanda aras yang baik di ASEAN.

“Haval ialah singkatan daripada Have All yang bermaksud ‘Semuanya Ada’ dan bukan sekadar menawarkan kenderaan pada harga mampu milik tetapi turut dipadankan dengan ciri dan teknologi terkini,” jelasnya.

Go Auto telah dilantik oleh Graet Wall Motors (GWM) sebagai pengeluar dan pengedar sah tunggal bagi barisan SUV Haval dan GWM di Malaysia dan pasaran ASEAN.