Menceritakan semula detik-detik bersejarah yang membuatnya “jatuh cinta” pada aktiviti lasak, semuanya bermula daripada penglibatannya sebagai host program TV Jelajah Borneo pada tahun 2012.

“Sebuah rancangan yang menuntut saya menjadi lasak dan banyak mengajar saya untuk sabar dalam apa jua keadaan, masa tu saya terlibat dalam 13 episod.

“Dari situ saya mula mempelajari selok-belok pemanduan jentera empat roda dengan betul dan selamat.” Selepas itu, dia mula berjinak-jinak dengan aktiviti treking, berbasikal dan berjoging bagi menjaga “stamina.”

Pada tahun lepas Sharisa mula mengorak langkah lebih serius lagi dengan terlibat dua projek besar iaitu Kayuhan Altitut Tinggi Annapurna, Nepal bersama Kelab Eksplorasi 7 Benua (KE7B) satu projek berbasikal pada altitut tinggi. Kemudian menyertai perlumbaan pacuan empat roda lasak wanita “Shemud” Women 4X4 International Challenge 2015 sebagai pemandu utama.

Daripada 25 peserta, dia terpilih memenangi gelaran “Tough Girl Award.”

Terbaru, Sharisa baru saja menyertai SAPPERS 4X4 GYMPO International Challenge 2016 di Sri Lanka bersama Nazahiyah Mohd Hadzir sebagai co-pilot, mewakili pasukan Shemud Malaysia dalam acara tersebut. Merupakan penganjuran kali keenam SAPPERS 4X4 GYMPO yang dianjurkan oleh Four Wheel Drive-Club Of Sri Lanka. Daripada 18 pasukan hanya satu saja pasukan wanita menyertai cabaran tersebut.

Mengaku telah dilatih dan dilahirkan sebagai pemandu lasak bersama pasukan Shemud setahun yang lepas, Sharisa amat berterima kasih kepada pengurus pasukannya, Narimah Samat. Baginya, menjadi pasukan wanita tunggal pada perlumbaan tersebut bukanlah satu masalah. Sebaliknya berbangga dengan prestasi pasukannya berhadapan cabaran daripada 18 pasukan lelaki.

“Shemud adalah ruang terbaik bagi pemandu pemandu lasak wanita untuk menimba pengalaman dan menonjolkan diri setanding dengan pemandu-pemandu lelaki yang sedia ada.

“Bertanding dalam kategori pemanduan ekstrem, lima SS (Special Stages) perlu di tempoh setiap pasukan dalam acara tersebut. Trek berbukit lapan puloh darjah, lopak air, trek berbatu, laluan berlubang di kiri dan kanan trek dan banyak lagi halangan perlu ditempuhi sama seperti peserta lelaki yang lain.

“Menariknya, pasukan saya sentiasa menjadi perhatian dan tumpuan di setiap SS kerana kami satu satunya kumpulan wanita yang berani bersaing pada perlumbaan tersebut,” jelasnya sambil tersenyum.

“Di sana kami menggunakan jentera Suzuki Jimny berkapasiti 2.8 liter turbo diesel. Walaupun jentera tersebut berkuasa tetapi kami menghadapi beberapa masalah teknikal menyebabkan kami gagal mencatat masa terbaik pada beberapa perlumbaan SS.

Walaupun begitu pasukan Sharisa berjaya menjadi pasukan terpantas pada perlumbaan SS5 dengan masa terbaik 2 minit 2 saat mengatasi semua peserta. Menurutnya lagi, semasa di SS2 dan SS4 jenteranya kehabisan minyak, kenderaan gagal dihidupkan, bateri dan winch pula meragam, jadi pasukannya dikeluarkan daripada perlumbaan kerana melepasi had masa dibenarkan.

Walaupun kecewa, bagi Sharisa semua cabaran tersebut adalah adat pertandingan yang menjadikannya lebih matang dan bersedia untuk perlumbaan akan datang. Baginya, skil pemanduan adalah sangat penting selain kebolehan membaca ‘trek’ dengan pantas, tidak mudah putus asa dan mampu memberi kerjasama sepenuhnya kepada co-pilot adalah ‘ramuan’ penting dalam setiap perlumbaan SS yang dihadapi.

Tidak menafikan bahawa aktiviti ini memerlukan kos yang tinggi, Sharisa tidak mahu mengalah, beliau akan cuba bertahan supaya menjadi ikon baru perlumbaan lasak bagi membantu Shemud melahirkan generasi baru dalam kalangan wanita. Beliau berharap ramai tampil untuk membantu dan menyokong usaha murni Shemud memartabatkan wanita setanding dengan pelumba lelaki yang lain.

Beliau sedang melakukan beberapa persiapan serta menjalani latihan bagi menyertai SHEMUD 2016 yang akan diadakan di Negeri Sembilan pada 5 sehingga 16 haribulan November akan datang. Dijangka lebih dari sepuluh negara akan menghantar wakil menyertai perlumbaan yang terdiri dari wanita wanita lasak.

Sebagai anak seni, selain berlakon drama dan filem, Sharisa juga seorang penulis skrip, produser dan pengarah drama. Semua ini adalah bagi menjamin kelangsungan sebagai anak seni yang baginya sangat mencabar.