Pengarah Urusan HSDM, Lau Yit Mun berkata, varian tersebut akan dilancarkan secara rasmi pada bulan ini, sementara setiap tempahan sekarang akan menerima kereta itu sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Katanya, Elantra baharu itu dijangka menjadi pilihan ramai terutama dalam memilih kenderaan sedan bersaiz sederhana kerana ia dilengkapi dengan teknologi inovatif serta ciri-ciri keselamatan dan keselesaan.

“Pelanggan boleh menjangkakan lebih banyak ciri hebat dan eksklusif dalam segmen sedan kerana seperti kenderaan Hyundai lain, Elantra dinaik taraf mengikut trend terkini,” katanya dalam kenyataan di sini baru-baru ini.

Elantra varian 2.0 MPI iaitu Dynamic dan Executive dikuasakan oleh enjin empat silinder Nu 2.0L MPI yang mampu menghasilkan kuasa maksimum 152 PS pada 6,200 rpm dan kuasa kilas 192 Nm pada 4,000 rpm.

Bagi varian 1.6 Turbo Sport pula, ia menggunakan enjin empat silinder Gamma 1.6 GDI Turbo yang mampu mencapai kuasa maksimum 204 PS pada 6,000 rpm dan kuasa kilas 265 Nm pada 1,500 hingga 4,500 rpm.

Menurut Yit Mun, antara kelebihan varian baharu itu termasuk konsep reka bentuk Fluidic 2.0, rangkaian kuasa baharu, keluli berkekuatan tinggi, Emergency Fastening Device dan Hands-free Smart Trunk.

“Selain harganya yang lebih mampu milik, varian ini juga telah menerima penarafan lima bintang dalam Penilaian Kenderaan Baharu Australasian (ANCAP),” ujarnya.