Acara dianjurkan secara gilang gemilang itu disertai 70,000 penunggang berpakaian segak dengan satu tujuan, mengumpul dana untuk menyokong usaha bagi memberi kesedaran tentang kanser prostat yang menjadi antara pembunuh utama kaum lelaki seluruh dunia.

Malaysia antara negara mengambil bahagian dalam acara ini. Dianjurkan di beberapa negeri termasuk Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Labuan, Miri, Kuching dan Kota Kinabalu, TDGR 2016 seperti penganjuran tahun-tahun sebelumnya mencapai misi utama dengan jayanya.

Di Kuala Lumpur, acara dianjurkan kelab Naked 13 Cafe Racer dengan kerjasama Support GP Rascals. Mengumpulkan 453 penunggang dari segenap wilayah tersebut, kesemuanya berkonvoi dengan menaiki pelbagai jenis motosikal merentasi laluan bermula di Garage KL, Ampang hingga Dataran Merdeka.

Salah seorang Pengasas Kelab Naked 13 Cafe, Kamarul Azhar Azman, memberitahu bagi penganjuran di Kuala Lumpur, sebanyak RM8,489 berjaya dikumpulkan. Katanya jumlah tersebut menunjukkan komitmen dan dedikasi peserta dalam menjayakan acara berprestij itu.

“Dana terkumpul disalurkan terus kepada pihak penganjur utama yang berpusat di Sydney, Australia. Ini adalah tanda sokongan riders tempatan dalam menyebar luas mesej dan memerangi kanser prostat dalam kalangan golongan lelaki seluruh dunia.

“TDGR adalah platform untuk para penunggang beramal dan berbakti kepada masyarakat. Penglibatan ini sedikit sebanyak menepis persepsi negatif yang sering dikaitkan dengan penunggang motosikal seluruh dunia,” katanya.

Kemeriahan sambutan TDGR di Pulau Pinang tidak kurang hebat apabila 500 penunggang turun padang, bersama-sama menjayakan acara yang dianjurkan buat kali kedua di negeri tersebut. Dianjurkan Riders Garage dan Rotten Motocycles, TDGR Pulau Pinang berjaya mengumpul RM16,175 untuk tujuan sama.

Pengasas Riders Garage, Asep Ahmad Iskandar berkata, selain mempromosikan kesihatan sejagat, acara tersebut secara tidak langsung berjaya mempromosikan Pulau Pinang sebagai destinasi pelancongan negara.

“Konvoi bermula di depot bas Hin, Ipoh, merentasi pelbagai lokasi yang diiktiraf sebagai tapak warisan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dan berakhir di Gurney Paragon.

“Sepanjang perjalanan, pelbagai foto dimuat naik menerusi laman web rasmi dan media sosial acara. Ini secara tidak langsung mempopularkan Pulau Pinang dan Malaysia secara amnya sebagai destinasi percutian ideal,” ujarnya.

TDGR dianjurkan sejak 2012. Selain Malaysia, beberapa negara lain yang turut serta adalah Amerika Syarikat, England, Australia, Jepun dan Korea Selatan.- AL FAIZAL/QUAN S. CHOW/LOVEUNDEFINED

/ QUAN S. CHOW/ LOVEUNDEFINED