Program anjuran Procara Entertainment Sdn. Bhd. (Procara) itu bakal menghimpunkan semua elemen dalam industri automotif termasuk agensi kerajaan, sektor pendidikan, gaya hidup, konsert, e-gaming, trak makanan serta syarikat penala dan pengubah suai kenderaan.

Karnival permotoran yang menggabungkan industri korporat dan gaya hidup itu adalah yang pertama seumpamanya di Malaysia.

Jadi, siapakah individu di belakang penganjuran Motonation 2017? Beliau ialah Mohd. Nazrul Zahri yang bertindak selaku Pengarah Eksekutif Procara. Anak kelahiran Muar, Johor itu adalah rakyat Malaysia kedua yang pernah bekerja dalam industri automotif Formula Satu (F1).

Selepas mencatatkan keputusan sembilan agregat dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Mohd. Nazrul mendapat biasiswa tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk melanjutkan pengajian di Jerman.

Sebaik tamat pengajian ijazah sarjana kejuruteraan pada 2006, beliau bekerja dengan pasukan F1 Panasonic Toyota Racing yang berpangkalan di Jerman.

Menurut Mohd. Nazrul, dalam tempoh dua tahun bekerja dengan pasukan F1 itu sehingga 2008, beliau menimba pelbagai pengalaman termasuk melakukan kerja sambilan sebagai penterjemah bahasa Jerman dan mengendalikan pelbagai urusan berkaitan untuk syarikat dari Malaysia dan Asia yang menyertai pameran di negara itu.

“Dari situ saya berjumpa dengan rakan kongsi saya, orang Malaysia yang sudah menetap selama 40 tahun di Jerman. Dia mengajak saya bekerjasama. Saya buka syarikat di Malaysia dan dia buka syarikat di Jerman untuk buat pengurusan acara,” katanya ketika ditemui di ibu kota baru-baru ini.

Menerusi syarikat pengurusan acara itu, Mohd. Nazrul dan rakan kongsinya membawa syarikat-syarikat dari Malaysia dan Asia Tenggara menyertai pameran di Jerman.

“Kami mengendalikan solusi dari A hingga Z termasuk urusan hotel, logistik, merekabentuk dan membina gerai pameran untuk syarikat-syarikat berkenaan.

“Setiap tahun, kita membantu mengendalikan pelbagai pameran besar daripada pelbagai industri dan sektor di Jerman. Pameran adalah salah satu industri di Jerman dan negara itu antara hab pameran terbesar di dunia baik dari segi makanan, elektrik, perabot, pakaian, perubatan dan automotif,” ujarnya.

Melihat betapa hebatnya industri pameran di Jerman, Mohd. Nazri yang meminati permotoran dan memiliki koleksi beberapa buah kereta klasik, memasang impian untuk menganjurkan satu acara permotoran berskala besar di negara kelahirannya suatu hari nanti.

“Selama ini di Malaysia, acara permotoran besar yang dianjurkan adalah berdasarkan korporat automotif semata-mata tetapi tidak ada acara yang menggabungkan korporat automotif, gaya hidup automotif, industri sokongan dan orang ramai sedangkan di luar negara acara sebegini sudah banyak.

“Apa yang saya maksudkan dengan gaya hidup ialah bukan hanya industri korporat tetapi industri sokongan seperti tuner (penala) dan pengubah suai kenderaan, restorasi kereta klasik dan custom motosikal,” katanya.

Setelah sekian lama menunggu masa sesuai untuk menganjurkan karnival permotoran terbesar di Malaysia, akhirnya ia bakal menjadi kenyataan pada Disember ini.

Pada tahun lalu, Mohd. Nazrul membuat kertas kerja dan menubuhkan syarikat Procara khusus bagi melaksanakan karnival Motonation 2017.

Harapannya, Motonation boleh menjadi platform kepada syarikat-syarikat industri sokongan untuk menonjolkan produk dan perkhidmatan mereka bagi menerokai lebih banyak peluang perniagaan khususnya menjalinkan kerjasama dengan industri korporat.

“Contoh mudah ialah AMG yang merupakan sektor gaya hidup tapi bila bergabung dengan Mercedes, ia menghasilkan kejayaan besar. Kita mahu keadaan sama berlaku di Malaysia supaya industri kita dapat berkembang,” kata Mohd. Nazrul.