Sebahagian peserta tidak saya kenali, hanya bertegur sapa melalui aplikasi WhatsApp sahaja sebelum ini. Kembara kali ini bersama pemilik kenderaan pacuan empat roda Nissan Teranno Club Malaysia (TCM). Grup WhatsApp ini yang baru ditubuhkan dua tahun lalu berjaya mengumpul 70 pemilik Nissan Teranno dari seluruh negara. Tujuan utama ditubuhkan ialah untuk berkongsi pengalaman teknikal kepada pemilik selain hal-hal penjagaan kereta juga mengeratkan silatulrahim.

Selepas berkenalan, kami meneruskan perjalanan sejauh lapan kilometer melalui jalan tar sehingga ke penghujung jalan menuju Pintu Gerbang Pokok Chengal Besar. Selepas diberi taklimat oleh ketua ekspedisi Mohd Zainal Abidin Mat Amin (Pak Ngah), 49, kami meneruskan perjalanan.

Gear pertama kami disambut jalan offroad yang rosak teruk, berbukit dan tidak rata. Gear four whell low terpaksa digunakan. Walaupun berjarak pendek hanya 2.6 kilometer saja melalui jalan tanah merah menuju ke kem site, kami mengambil masa satu jam. Kenderaan saya pula terpaksa di tarik (winch) beberapa kali kerana tersekat di bukit dan lopak selut ekoran kegagalan gear four whell low berfungsi.

Kumpulan kami berselisih dengan sekumpulan jentera Cherokee yang kesemuanya telah diubah suai untuk kegunaan offroad. Kelihatan tinggi dengan bullbar dan tayar “lipan”, kumpulan ini kelihatan gagah. Menurut Pak Ngah, mereka mengambil keputusan berpatah balik kerana tidak mampu melepasi jalan berbukit dan berbatu dihadapan, bagi mereka laluan tersebut sangat curam dan rosak teruk. Menurut Pak Ngah, “walaupun berjarak pendek hanya 2.6 kilometer saja menuju ke kem site tapi saya yakin trek ini akan memberi pengalaman baru buat ahli kerana kawasan ini menyajikan trek yang 'santai' tapi memerlukan beberapa skill tertentu.

Mencabar

Pada peserta baru trek ini akan menjadi hard core kerana pemandu perlu menggunakan beberapa skill pemanduan offroad sebenar. Di sini saya akan menilai kemampuan pemandu dan jentera mereka untuk melepasi halangan serta sikap bekerjasama di antara mereka kerana laluan untuk keesokkan harinya lebih mencabar kerana terdapat banyak bukit dan laluan yang rosak”.

Pemilik Nissan Teranno paling hard core dalam kumpulan ini, Pak Ngah sememangnya kaki offroad. Dengan pengalaman selama enam tahun menceburi aktiviti pacuan empat roda lasak, beliau sememangnya berpengalaman selok belok laluan di sini, apatah lagi beliau menetap di Kerteh yang tidak jauh dari sini.

“Kali ini kita hanya masuk sepertiga trek saja sebagai pengenalan. Trek ini terkenal kerana terdapat Pokok Cengal terbesar dan tertua di Malaysia. Dengan ketinggian 65 meter dengan ukur lilitnya 16.75 meter bersamaan 13 pemeluk, pokok ini dianggarkan berusia 1,300 tahun.

“Trek ini sebenarnya menuju masuk kedalam kawasan Taman negara antara Pahang dan Terengganu. Mungkin dimasa akan datang kita akan masuk sehingga ke penghujung jalan, ujarnya lagi.

Beliau telah menghabiskan hampir RM25,000 untuk mengubah suai sistem gantungan Teranno ke sistem gantungan Toyota dengan gandingan tayar “lipan” 35 inci. Dilengkapi bumper besi depan dan belakang, side step dengan tambahan winch, bagi memastikan jenteranya mampu melepasi halangan yang mendatang.

Bagi yang belum pernah ke sini, Hutan Simpan Sungai Loh, Hutan Simpan Chengal Besar dan Hutan Simpan Pasir Raja sememangnya menyajikan banyak lokasi menarik untuk dikunjungi terutama aktiviti pacuan empat roda, motocross, treking dan mendaki gunung. Antaranya, aktiviti mendaki Gunung Berembun (1,038 meter) dan treking ke Air Terjun Chemerong dan Air Terjun Lansir. Selepas itu bolehlah singgah di Chemerong ATV offroad bagi merasai pengalaman menunggang jentera ATV yang terdapat di Chemerong.

Selain itu, Trek Mat Kilau pula ialah laluan menyusuri Sungai Dungun dari Kampung Pasir Raja menuju ke Kampung Bantal Hulu Tembeling, Jerantut, Pahang. Tapi sebelum itu pengunjung boleh singgah melawat Kubu Mat Kilau di Padang Jerangau, Pasir Raja bagi mengingati perjuangan pahlawan legenda Melayu menentang penjajahan Inggeris sekitar tahun 1890-an.

Pada yang meminati laut boleh berkunjung ke Pantai Teluk Lipat yang merupakan tempat tumpuan penduduk Dungun untuk berehat dan bersantai bersama keluarga. Permandangan pantai yang bersih dengan pohon rhu dan kesan peninggalan perlombongan bijih besi seperti tiang jambatan keretapi yang mengangkut bijih besi ke kapal, masih boleh dilihat di pantai ini.

Pemilik Nissan Teranno yang beminat bersama menyertai Grop WhatsApp TCM, bolehlah hubungi admin melalui 017-252 6670 (Asmadi).