Video oleh ZABRY MOHAMAD MADZLAN & MOHD ROSE IZANIE OSMAN

Motosikal dengan enjin berkapasiti 798 cc ini dirasakan tidak lancar, seperti memaksa-maksa minta dilakukan sesuatu ke atasnya.

Menyusuri Jalan Batu Caves seterusnya Jalan Sungai Tua yang banyak persimpangan lampu isyarat, sedikit memeritkan buat penulis yang bertubuh rendah untuk mengimbangi jentera de­ngan ketinggian tempat duduk 830 milimeter (mm) ketika berhenti.

Walau bagaimanapun, ‘keperitan’ tersebut sedikit demi sedikit lenyap apabila mula memasuki Jalan Hulu Yam Baharu menuju Genting Highlands. 

Keadaan laluan yang agak le­ngang membolehkan penulis memecut. Mula terasa keseronokan menunggang motosikal  buatan Itali ini apabila meter kelajuan melebihi 120 kilometer sejam (km/j). 

Jika sebelumnya pergerakan enjin empat lejang tiga silinder ini dirasakan seperti tersekat-sekat, kini berubah menjadi cukup lancar. Seolah-olah Brutale 800 tidak sesuai ditunggang perlahan. 

Ketika melayan selekoh-selekoh pendek dan tajam pula, penyerap hentak terbalik jenis Marzocchi di depan dan monoshock Sachs di bahagian belakang membolehkannya turun serendah mungkin dengan penuh yakin dan stabil.

Tambahan pula dipasang Pirelli Diablo Rosso III, ternyata motosikal jenis naked ini ‘melekat’ di atas jalan raya. Brutale 800 adalah satu-satunya model yang didatangkan dengan tayar jenis ini yang diakui amat berkesan dari segi cengkaman di atas jalan kering dan basah.

Sistem brek antikekunci (ABS) Bosch 9 Plus menambahkan lagi keyakinan penulis untuk ber­depan sesuatu yang tidak dijangkakan.

Memasuki Lebuh Raya Karak pula, tidak disangkal lagi motosikal ini cukup hebat. Posisi agresif penunggang yang pada mulanya sedikit menyeksakan, kini semakin selesa dirasakan. 

Semakin meter laju menghampiri 200km/j, semakin ‘lembut’ pula dirasakan enjinnya hinggakan tangan begitu ‘ringan’ mahu memulas pendikit sehabis mungkin. 

Amat sesuailah dengan nama yang diberikan iaitu Brutale, bermaksud brutal atau ganas dalam bahasa Itali.

Itu mod tunggangan normal. Terdapat tiga lagi mod pada motosikal ini iaitu sport, rain dan custom.

Menggunakan laluan sama, penulis mencuba pula mod sport yang lebih agresif. Ternyata ‘belang’ sebenar jentera ini ditonjolkan.

Prestasi enjin dengan aci engkol putaran lawan arah jam iaitu sama seperti motosikal MotoGP langsung tidak terganggu meskipun penulis mengubah ‘rentak’ tunggangan secara tiba-tiba. Ketika ‘melayan’ selekoh, penulis mampu menukar ke gear rendah tanpa sedikit pun menjejaskan kestabilannya.

Di lebuh raya usah ceritalah. Mujur penulis bukan jenis hati kering. Kalau tidak mungkin diperah sehabis maksimum pendikit.

Ketika mahu pulang ke Ampang, penulis terpaksa berdepan kesesakan di Lingkaran Tengah 2 (MRR2).

Namun, jentera dengan berat kering 175 kilogram (kg) ini cukup lincah mencelah, cuma tangan sedikit lenguh berikutan posisi penunggang yang menyebabkan beban tertumpu pada lengan.

Keunikan lain terdapat pada enjin Brutale 800 adalah sistem electronically assisted shift (EAS) 2.0 up & down gear shift yang mempercepatkan pertukaran gear tanpa perlu menarik dan melepaskan klac. 

Dari segi penampilan, tidak dinafikan reka bentuknya cukup unik yang pasti menarik perhatian ramai. Setiap lekuk dan celah nampak begitu ‘seksi’, apatah lagi dengan warna cukup garang. Apabila berhenti di lampu isyarat merah, pasti ramai yang menjeling.

Ditambah dengan tiga ekzos berkembar, sudah memadai untuk menghasilkan bunyi nyaring meskipun standard.

Selain itu, logo-logo MV Agusta pada hendal, tempat letak kaki, lampu depan dan bahagian-bahagian lain menjadikan model ini nampak eksklusif.

Didatangkan dengan tiga warna, Brutale 800 yang dijual pada harga RM87,331.28 termasuk cukai barang dan perkhidmatan (GST) pastinya menjanjikan kepuasan luar biasa buat pencinta jentera dua roda.