Menurut Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Harald Hoelzl, X2 ini didatangkan dalam dua varian termasuk BMW X2 s Drive 20i M Sport, edisi terhad sebanyak 100 kenderaan dan dijual pada harga RM320,800 (tidak termasuk insurans) yang mampu memberikan keseronokan pemanduan terunggul.

"Siri-siri BMW X telah lama mencipta kecemerlangan di Malaysia. Tahun lepas sahaja, kami menjual lebih 4,200 model BMW X atau 39.6 peratus daripada 10,618 kenderaan yang dijual BMW," katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran BMW X2 di sini hari ini.

Model ini menjadi tambahan terbaharu ke dalam portfolio kereta mewah BMW dengan ciri-ciri SAC yang menampilkan rekaan bersifat urban, dinamik dan sporty, yang akan memberikan impak dalam kelasnya khususnya dalam barisan model BMW X.


BMW X2 yang kini dijual oleh pengedar-pengedar bertauliah BMW di seluruh negara, datang dalam tiga warna baharu iaitu galvanic gold metallic, misano blue metallic dan sunset orange metallic, kabin dalaman diserlahkan dengan warna hitam dan kelabu.

Kenderaan tersebut boleh dimiliki melalui program kewangan yang dinamik daripada Perkhidmatan Kewangan Kumpulan BMW Malaysia, yang merangkumi Program BMW Full Circle dengan ansuran bulanan bermula daripada RM4,498 dengan 20 peratus bayaran muka untuk tempoh empat tahun atau perbatuan sejauh 20,000 km setahun. - BERNAMA