Pengarah Urusan dan Ke­tua Pegawai Eksekutif BMW Group Malaysia, Han Sang Yun berkata, dengan penambahbaikan pada model-model ini, pihaknya percaya BMW 4 Series Coupé akan terus dapat memenuhi jangkaan sebagai sebuah coupé yang sofistika­ted dan dinamik.

Katanya, BMW M4 Coupé baharu pula akan membuktikan kemenangan dalam pelbagai kejuaraan bukan sahaja terhad dalam Litar Kereta Touring, malah di atas jalan raya biasa dan memang dekat di hati para peminat sukan bermotor premium di negara ini.

“BMW 4 Series telah mencetuskan era baharu dalam sejarah BMW dan Sports coupé ini sudahpun mencipta satu lagi bukti kejayaan tentang kekuatan dan keupayaan kami dalam menghasilkan jentera sports dua pintu yang dinamik serta mampu menggerakkan emosi para peminat kereta di seluruh dunia.”

“Sebagai pengeluar ken­de­raan premium, kami sentiasa mencabar sempadan sendiri dalam usaha menawarkan inovasi terbaik dalam dunia automotif dan keseronokan pemanduan kepada para pelanggan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kedua-dua kereta itu akan dipamerkan pada program Raya @ BMW yang diadakan di semua pengedar BMW mulai 6 hingga 21 Julai dan turut dipertontonkan pada acara Revolution by Time Kulture yang diadakan pada 6 hingga 16 Julai di Pavilion Kuala Lumpur.

Dari segi tawaran enjin, BMW 4 Series dikuasakan oleh enjin empat silinder yang merupakan sebahagian daripada keluarga BMW Efficient Dynamics. BMW 420i Coupé Sport menawarkan kuasa 135kW/ 184hp dan kuasa kilas 270Nm pada pecutan penuh, sekali gus membolehkannya memecut dari 0-100 dalam masa hanya 7.5 saat manakala BMW 430i Coupé M Sport pula memiliki kuasa 185kW/ 252hp bersama kuasa kilas 350Nm yang membolehkannya memecut dari 0 hingga 100km dalam masa cuma 5.8 saat.

Harga runcit (di atas jalan, tanpa insurans dengan Jaminan Perbatuan Tanpa Had selama lima tahun, Program Servis Berjadual Percuma dan Program Jaminan Tayar dua tahun) BMW 4 Series Coupé dan BMW M4 Coupé baharu ialah BMW 420i Coupé Sport berharga RM338,800, BMW 430i Coupé M Sport RM408,800 dan BMW M4 Coupé RM760,800.