Selain berkonvoi kira-kira 65 kilometer, para penunggang kental yang berjiwa murni ini turut menyalurkan sebahagian sumbangan hasil kutipan yuran penyertaan konvoi Raya Gathering 2016 itu kepada orang Asli di Chini, Pahang.

Program santai sambil beramal hasil inisiatif Utama Motor sambil disokong ahli Kelab Bermotor Pekema (PRC-Pekema Rides Club) itu, telah disertai lebih 80 penunggang yang terdiri daripada ahli Sportster Malaysia dan rakan kelab seperti Bikers Club United Malaysia (BCUM).

Bermula pukul 3 petang dan berakhir 9 malam, konvoi pada Sabtu lalu itu menjadi ruang bagi peserta untuk berkumpul dan merapatkan hubungan serta beriadah sosial cara berhemah.

Menurut Sulaiman Nasroddin, konvoi bermula di garaj Gasket Alley, Cheras menuju ke Kota Damansara itu, turut berjaya mengumpulkan penunggang dan pemilik pelbagai varian model Harley Davidson edisi klasik dan moden.

"Di samping mengisi aktiviti berfaedah dan memanfaat hubungan erat terjalin sesama ahli kelab, medium ini turut dijadikan ruang mengutip sumbangan untuk membantu serba sedikit mereka yang memerlukan.

"Sejumlah wang hasil kutipan yuran penyertaan, sebahagiannya akan kami gunakan untuk pengoperasian program, dan selebihnya disumbangkan sebagai amal kebajikan dan tanda prihatin ahli dan kelab-kelab bermotor," katanya selaku Presiden Sportster Malaysia.

Di samping memupuk budaya menunggang secara berhemah, program diaktif hasil semangat dan muafakat ahli dan kelab bermotor tempatan itu turut membuka peluang membina minat dalam kalangan remaja dan merintis rantaian nilai dalam industri permotoran dan juga perkhidmatan berkaitannya.

Inisiatif konvoi dan pelbagai program berkaitan komuniti atau industri yang diatur dan dilaksanakan oleh ahli-ahli Pekema Kebangsaan dilihat menjadi landasan positif mencerna aktiviti dan perkembangan sektor automotif negara.