Pengurus Besar Operasi Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd. (MForce), Asri Ahmad berkata, pihaknya yakin sambutan terhadap model baharu itu akan meningkat apabila orang ramai dapat memandu uji motor berkenaan dan merasai sendiri kelebihan yang ada pada model tersebut.

“Lebih separuh model baharu itu sudah terjual memandangkan hanya 2,000 unit sahaja dijual untuk model edisi khas itu.

“Benelli TNT 135 LE adalah sporti, ringan dan mudah untuk dikenali dengan pengubasuaian estetik yang baharu dan pastinya sesuai kepada mereka yang gemarkan ‘mini fun bike’ tidak hanya terhad pada satu peringkat umur sahaja,” ujarnya kepada Utusan Online pada sesi pandu uji TNT 135 LE di sini hari ini.

Tambah Asri, dengan transmisi lima kelajuan dengan edisi khas model itu memberi penunggang peluang untuk mencari gear yang sesuai untuk setiap keadaan.

“Ini menjadikan Benelli TNT 135 LE sebagai motorsikal yang amat seduai untuk golongan muda mahupun penunggang baru.

“Harga bagi model ini adalah RM9988, pastinya sangat berpatutan. Sejenis motorsikal yang bersaiz kecil dengan rupa motorsikal besar,” katanya.

TNT 135 LE baharu ini dilengkapi dengan tuas brek dan klac dengan pelindung bar pemegang, penaik bar pemegang, penutup takungan cecair brek hadapan dan pemijak kaki hadapan yang berwarna merah.

Versi TNT 135 LE juga mempunyai penyejuk minyak, 135cc, dua palam pencucuh, SOHC dengan transmisi lima kelajuan yang memenuhi piawaian EURO 4.

Model baharu ini mempunyai enjin TNT 135 LE dengan mengeluarkan 13 kuasa kuda, ini menjadikan kuasa enjin sangat mudah dikenali selain mempunyai tiga pilihan warna iaitu hitam, putih dan merah.-UTUSAN ONLINE