Pasukan itu yang turut mendapat sokongan daripada Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia dan Sukan Perak, Datuk Shahrul Zaman Yahya menyenaraikan masing-masing sembilan pemandu dan jurupandu arah bagi mengharungi empat pusingan perlumbaan dalam MRC 2018 termasuk Kejuaraan Rali Asia Pasifik (APRC) yang berlangsung pada pusingan kedua MRC 2018 di Johor.

Bagi musim ini, BDRT akan diperkuatkan dengan kehadiran pelumba dan jurupandu arah dari Indonesia, Julian Johan dan Recky Resanto yang pernah menjuarai Kejuaraan Nasional (Kejurnas) Rally Sprint di Indonesia pada 2016 dan 2017.

Pasukan tersebut turut mengekalkan barisan pemandu lama dan jurupandu arah berpengalaman yang diketuai Roduwan Rashid selaku prinsipal pasukan, Mohd. Faizal Tuah, Suhaimi Nasro Ali, Hamzah Adlan, Mohd. Henzee Hamzah, Nuramirul Syamim Khalid, Mohd. Shahbandi Mohd. Desa, Fazrul Akmal Khalid, Ezamin Ezham Ismail, Amirul Zahri Sazali, Mohd. Fairus Idris, Mohd. Shafiq Mohd. Azmi, Norfaizal Yacob dan Mohd. Rizuan Zakaria.

Turut bersama dalam pasukan itu adalah pemandu rali wanita, Gina Finanza Daud yang buat pertama kali akan bergandingan dengan anaknya, Izyan Zuhaily Zolkeple selaku jurupandu arah.

Ketika mengumumkan senarai pelumba pasukan di Port Dickson, Negeri Sembilan pada minggu lalu, pengurus BDRT, Khalid A. Rashid optimis pasukan tersebut mampu mengekalkan gelaran pasukan terbaik dan beberapa kategori yang dimenangi pada musim lalu.

“Pada musim ini, sebanyak sembilan buah kereta akan disenaraikan untuk bertanding dalam MRC. Antara kenderaan terlibat ialah Subaru Impreza, Proton Satria Neo, Perodua Kelisa dan Proton Saga Aeroback. Kami akan bertanding dalam beberapa kategori termasuk 4WD, 2WD, klasik, “alternative fuel” dan novis,” katanya.

Pasukan yang dikenali dengan nama Dwau One Motorsports BDRT pada musim lalu itu masih dalam rundingan berhubung siapa akan yang akan menjadi penaja utama. Namun, syarikat yang berminat untuk menjadi penaja bersama boleh berhubung dengan Suhaimi di talian 012-6737758. Pasukan itu juga menawarkan perkhidmatan sewaan kereta rali kepada mereka yang berminat menyertai MRC 2018.

Pusingan pertama MRC musim ini akan bermula dengan Rali Perak pada 28 dan 29 April ini diikuti Rali Antarabangsa Johor (20-22 Julai), Rali Terengganu (6-7 Oktober) dan Rali Perlis (15-16 Disember).