Secara asasnya, jika kita terlalu suka membuat sesuatu perkara, ia mampu menjadi hobi dan jika hobi itu boleh menghasilkan pendapatan, ia sesuatu yang menguntungkan.

Begitu juga Mas Oyama yang berasal dari Johor tetapi kini menetap di Kajang, Selangor. Jangan di salahanggap seorang pengusaha bengkel cat yang diberi nama, Aaron Spray Bodyworksa tidak mempunyai kelulusan tinggi. Tanggapan sebegini harus dilempar jauh kerana hanya mencipta persepsi.

Mas yang pernah bekerja di Perpustakaan Negara dan beberapa buah hotel di sekitar ibu kota mempunyai ijazah sarjana dalam bidang bahasa dan linguistik dari sebuah universiti terkemuka tanah air. Jika ditanya mengapa Mas meninggalkan bidang perkhidmatan awam dan hotel yang boleh dikatakan menjanjikan kehidupan yang stabil dan mewah, dia dengan selamba menjawab bahawa tidak minat.

“Mengapa kita perlu berpura-pura melakukan sesuatu yang kita tidak gemari kerana ia umpama menipu diri sendiri apatah lagi jika tidak melakukanya dengan ikhlas. Sifat ikhlas sangat penting dalam setiap perbuatan kita,” ujar Mas.

Mas menambah bahawa setiap manusia lahir dengan potensi dan kelebihan yang tersendiri tetapi tidak semua orang tahu memanfaatkan keupayaan diri sendiri. Kebolehan yang dianugerahkan Pencipta haruslah digilap untuk memberi manfaat kepada diri sendiri.

Selain itu, Mas turut mempunyai lesen pendawaian A0, sijil CPR dan juga sijil keselamatan dari Jabatan Bomba.

Permulaan dalam bidang permotoran bagi Mas agak lambat jika dibandingkan dengan orang lain . Dia mula terlibat secara serius sekitar lapan tahun lepas dan setelah menyedari potensi dalam bidang ini, dia bertekad untuk memulakan perniagaan berkaitan bidang permotoran.” Bidang permotoran merupakan satu lapangan yang luas dengan potensi serta mempunyai banyak ruang untuk diterokai,” kata Mas.

Sebelum ini Mas selalu menyertai pertandingan drag namun kebelakangan ini dia memilih untuk melibatkan perlumbaan dalam litar seperti di Litar Antarabangsa Sepang dan Litar Datuk Sagor. Bagi Mas, setiap penglibatan tidak kira sama ada acara pecut Drag ataupun acara litar, proses itu adalah proses pembelajaran yang berjalan sepanjang masa melibatkan aspek teknikal, mekanikal dan yang paling penting, keselamatan.

Sepanjang penglibatan Mas dalam acara litar, dia menggunakan sebuah Proton Putra yang terkenal dengan berat badan ringan, bertepatan dengan penggunaan di litar disamping rupa bentuk cantik dan aerodinamik. Mas menampilkan kemasan Rocket Bunny yang sudah terkenal dengan penggunaan tayar yang terkeluar melebihi lebar badan kereta. Di samping itu, bubble arch yang besar turut di padankan bagi menutup kelebaran tayar.

Penglibatan awal

Nadi yang dipadankan kepada jentera berwarna merah jambu ini merupakan enjin yang selalu menjadi pilihan penggemar nadi turbo dari Mitsubishi Evo 3 namun menggunakan blok 4G64. Blok tersebut mempunyai lejang dan saiz piston yang lebih besar berbanding dengan blok 4G63 lantas memberikan tujahan tenaga yang lebih besar. Faktor ini yang banyak membantu Mas setiap kali menyertai perlumbaan di litar.

Sepanjang penglibatan Mas dalam lumba kereta di litar, dia banyak menerima penajaan dari rakan-rakan yang turut bergiat aktif dalam perniagaan berasaskan permotoran seperti Suzuka Lubricants, ftuned racing, Carrof Motorsport, Beltenicks, Puzzle Bodykits, Mavericks AVD, Monkey Diesel Shop, Adam Detailing, Z Garagr Autoworks, JDM Hardcore, SSAD dan Fydography.

Kebanyakan penaja Mas datang dari komuniti permotoran yang bergiat aktif iaitu Kajang Motorsport Community (KMC).

Jentera Rocket Bunny ini selalu dipandu oleh artis terkenal tanah air, Faye Kusairi yang turut meminati bidang perlumbaan serta permotoran bergandingan bersama Mas.

Bagi Mas, paduan tenaga dari pelbagai bidang mampu menaikkan imej perniagaan selain membawa arena permotoran ke peringkat yang lebih tinggi lagi.

“Dalam bidang motorsport, tidak perlu kita simpan sikap dengki dan iri hati kerana sifat ini tidak membawa kita ke mana-mana. Sikap yang perlu kita amalkan ialah tolong menolong antara satu lain, selain sesama bangsa supaya apa jua bidang yang kita ceburi mampu pergi lebih jauh dengan sokongan dari rakan-rakan, bukannya dengan hasad dengki dan busuk hati.” kata Mas mengakhiri perbualan.