Lebih mendukacitakan apabila kerajaan tidak menggariskan sebarang polisi atau dasar harga gazet bagi motosikal berkuasa tinggi terpakai, berbeza dengan kenderaan terpakai lain.

Antara peniaga motosikal berkuasa tinggi terpakai yang terawal, Razi Zainal Abidin berkata, dua isu itu mengakibatkan industri motosikal berkuasa tinggi terpakai di Malaysia berada dalam keadaan nazak hingga beberapa pemegang AP kenderaan itu telah menutup perniagaan mereka yang bernilai ribuan ringgit.

“Harga atau cukai gazet bagi motosikal berkuasa tinggi terpakai ini sangat penting bagi membolehkan kami menentukan harga modal barangan seterusnya mengira peratus untuk dijual semula kepada pembeli.

“Macam mana hendak jual barang, kalau peniaga tidak mengetahui kos sebenar produk tersebut? ‘Sama ada hendak jual mahal atau murah’ atau ‘betul atau tidak harga yang dikenakan ini termasuk kos cukai import?’ sentiasa bermain-main dalam fikiran kami?” katanya ketika ditemui Pekema Auto dan Industri di sini baru-baru ini.

Jelas Razi yang juga Presiden Razimoto Sdn. Bhd., tidak cukup dengan cukai sedia ada, pemegang-pemegang AP motosikal ditekan lagi dengan `short collection’ yang dikenakan oleh JKDM mencecah jutaan ringgit juga.

“Bila kita dah bayar semua cukai, JKDM datang pula untuk short collection. Apabila motosikal sudah dijual, boleh minta balik daripada pembeli? Sudah tentu tidak. Jadi kami berasa sangat tertekan dengan perkara ini,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama katanya, apabila agensi kerajaan terlibat seolah-olah menganaktirikan pemegang AP terpakai dengan memberi pelbagai insentif kepada peniaga automotif francais.

Ujarnya, jumlah cukai yang terpaksa ditanggung hampir 90 peratus sedangkan pemegang AP francais menerima pelbagai faedah daripada kerajaan seperti melalui Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA) dan pengecualian cukai bagi pelaburan pertama.

“Apabila cukai dikenakan ke atas kami terlalu tinggi, kami tidak dapat menawarkan harga pada kadar kompetitif. Siapa yang hendak beli motosikal terpakai kalau harganya tidak jauh beza dengan model baharu?.

“Jika dibuat perbandingan, cukai setiap unit kenderaan yang dijual adalah berlipat ganda daripada untung kasar malah terdapat yang terpaksa membayar cukai tiga kali ganda,” katanya.

Secara ringkas, Razi menjelaskan, pihaknya bukan menuding jari menyalahkan sesiapa dalam hal berkenaan tetapi memohon pada JKDM, Kementerian Kewangan dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) memberi laluan yang luas untuk golongan usahawan automotif terpakai meneruskan perniagaan serta maju ke hadapan.