Apatah lagi dengan kemampuan kewangan yang dimiliki, beliau mampu melibatkan diri secara aktif dalam arena tersebut. Sejak lebih tujuh tahun bergiat dalam bidang itu, Mohd. Fadly selalu mengambil bahagian dalam perlumbaan litar termasuk di Litar Antarabangsa Sepang, Selangor dan Litar Datuk Sagor, Kampung Gajah, Perak.

Jentera yang digunakan untuk perlumbaan adalah kereta pertama yang dimilikinya, Proton Satria. Terdapat banyak faktor kenapa beliau masih setia dengan kereta kesayangannya ini. Faktor pertama sudah tentu kerana nilai sentimental yang dikongsi bersama sepanjang Mohd. Fadly mula bekerja hingga ke tahap yang sekarang.

"Kereta inilah kenderaan pertama yang saya beli dengan duit saya sendiri dan menjadi kenderaan saya pergi ke mana sahaja atas tuntutan kerja dalam mencari rezeki yang halal," katanya.

Satu lagi faktor utama ialah kerana Satria mempunyai potensi yang sangat besar dalam modifikasi dari segi pengendalian mahupun dalam perlumbaan ataupun pemanduan biasa. Lebih RM80,000 telah dibelanjakan bagi menaik taraf jentera tersebut supaya mampu memberi tenaga yang berpanjangan di atas litar.

Modifikasi yang dilakukan mungkin kelihatan sama dengan pengubahsuaian yang dilakukan ke atas sebuah jentera sukan pecut ataupun drag tetapi semua spesifikasi kereta dan nadinya telah diadun untuk ketahanan dalam satu perlumbaan yang panjang dan mengambil kira aspek keseluruhan sebuah kereta termasuk pengendalian, penghantaran tenaga, cengkaman tayar, kelajuan dan pelbagai aspek lain.

"Proton Satria merupakan platfom yang berpotensi tinggi untuk diubah suai kerana faktor alat ganti yang mudah didapati di pasaran serta harga yang tidak keterlaluan jika dibandingkan dengan pengeluar automotif yang lain. Ini juga merupakan peluang untuk menunjukkan bahawa produk buatan tempatan juga mampu bersaing setaraf dengan pengeluar dari luar negara," ujar Mohd. Fadly yang pernah bekerja di Bank Negara Malaysia (BNM) selama enam tahun dalam bidang transaksi kewangan sebelum menjadi peguam.

Menurut Mohd. Fadly, memang tidak dinafikan kadang-kadang sukar untuk beliau membahagikan masa antara kerjaya dan hobinya itu. Sebagai peguam, dia mempunyai jadual harian yang sibuk terutama berulang-alik dari mahkamah dan berjumpa dengan pelanggan.

Namun, menyedari sebagai seorang profesional, beliau mempunyai tanggungjawab untuk memartabatkan dan membawa imej baharu yang lebih bersih bagi sukan permotoran.

"Saya menggunakan kedudukan saya sebagai seorang profesional berkecimpung dalam arena permotoran dalam masa yang sama memberi gambaran kepada masyarakat supaya tidak memandang rendah bidang ini dan berganding bahu membangunkan arena ini hingga ke persada dunia. "Saya percaya sukan permotoran mampu menyatupadukan masyarakat tanpa mengira umur, kaum, jantina mahupun kedudukan sosial," tambahnya.

Mohd. Fadly sebenarnya tidak ambil kisah sangat akan pandangan dan pendapat orang lain tentang apa yang beliau lakukan. Ini kerana beliau sedar setiap usaha yang dibuat dengan komitmen dan dedikasi, pasti suatu hari nanti akan membuahkan hasil.