Pengalaman itu memberi kelebihan kepada beliau hari ini ketika ekonomi negara berada dalam keadaan tertekan yang turut menjejaskan industri automotif.

Mengakui berdepan permintaan kurang memberangsangkan daripada orang ramai terutama sejak dua tahun kebelakangan ini, Nadzir yang juga Pengerusi Eksekutif Fadason Sdn. Bhd. bernasib baik kerana masih mempunyai cabang perniagaan lain seperti hartanah, perladangan dan pembuatan perabot.

Namun, disebabkan industri automotif merupakan cabang perniagaan utama yang dimulakan beliau sebagai pengedar kenderaan pada 1975, Nadzir akan memastikan perniagaan itu kekal berdaya saing.

Apatah lagi, beliau ketika ini mempunyai tiga cawangan galeri pameran kereta iaitu di Bukit Mertajam dan Seberang Perai, Pulau Pinang serta di Kuala Ketil, Kedah.

Dua daripadanya iaitu di Bukit Mertajam dan Kuala Ketil merupakan galeri kenderaan jenis Proton manakala model Toyota di Seberang Perai.

Cawangan Proton di Kuala Ketil lebih istimewa kerana galeri itu yang bakal dilancarkan pada bila-bila masa merupakan salah satu cawangan terawal mengguna pakai imej korporat terbaru Proton, seiring dengan pembaharuan pengeluar kenderaan nasional berkenaan.

Membabitkan pelaburan kira-kira RM3 juta, galeri itu akan dilengkapkan dengan teknologi dan kepakaran terkini Proton ke arah meningkatkan imej syarikat berkenaan setanding jenama antarabangsa.

Menurut Nadzir, usaha Proton itu juga merupakan salah satu bentuk sokongan syarikat berkenaan kepada pengedar mereka di seluruh negara dalam meningkatkan perolehan.

Ini kerana katanya, selain tekanan ekonomi, Proton ketika ini turut berdepan persaingan dari sudut model terbaharu jenama kereta antarabangsa serta harga yang kompetitif.

Dalam masa sama, tambahnya, Proton juga masih bergelut untuk membebaskan diri dari sudut persepsi dan tanggapan masyarakat terhadap kualiti dan teknologi kenderaan yang dihasilkan.

“Teknologi Proton sebenarnya sudah jauh ke hadapan namun kita masih gagal mengelak stigma kenderaan nasional ini tidak berkualiti.

“Sebab itu Proton ketika ini cukup agresif dari sudut penjenamaan dan pengenalan model-model baharu serta kerjasama dengan syarikat antarabangsa untuk meningkatkan keyakinan pengguna terhadap syarikat nasional ini,” katanya.

Perkara itu juga, menurut Nadzir, menjadi faktor utama mengapa beliau sehingga kini cukup yakin dan setia dengan jenama Proton sejak pertama kali menjadi pengedar iaitu kira-kira 31 tahun lalu meskipun boleh beralih tumpuan memajukan syarikat dalam cabang perniagaan lain.

Malah, beliau turut menggalakkan anak-anaknya menceburkan diri secara serius dalam industri automotif dengan dua daripada mereka iaitu Mohammad Nizam, 36, dan Nurul Aini, 30, kini turut mempunyai galeri pameran kenderaan sendiri.

Ditanya mengenai situasi semasa perniagaan automotif, Nadzir yang juga Setiausaha Kehormat Persatuan Pengimport dan Peniagaan Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema) menjangkakan permintaan perlahan akan berterusan sekurang-kurangnya dalam tempoh dua tahun lagi.

Keadaan diburukkan lagi dengan syarat ketat kelulusan bank bagi pinjaman kenderaan serta isu senarai hitam disebabkan hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).