Pengerusi program Noorhisham Ahmad Shah berkata, kira-kira 1,000 peserta membabitkan 400 kenderaan pacuan empat roda dari seluruh pelosok negara akan menyertai perkhemahan perdana pada 26 hingga 30 Julai ini.

"Perkhemahan ini akan diadakan di Jambatan Besi Sungai Singgor, Air Banun, Gerik dianjurkan sempena tahun melawat Perak 2017.

"Ia mendapat sokongan kerajaan negeri Perak, Jabatan Perhutanan Perak, Jabatan Perhilitan Malaysia dan juga Jabatan Pengangkutan Jalan," katanya di sini hari ini.

Menurut Noorhisham, Kemboree Sahabat 4x4 ini merupakan edisi kedua dianjurkan, yang mana edisi pertama di adakan di Sungai Lembing, Pahang tahun lalu dengan penyertaan lebih 100 buah kenderaan pacuan empat roda. 

Katanya, lokasi itu di pilih kerana keunikan hutan simpannya selain tempat yang luas berdekatan sungai dan tidak terlalu jauh ke dalam hutan bagi memudahkan kesemua kenderaan pacuan empat roda sampai.

"Pada edisi kali ini, UMW Grantt International Sdn Bhd merupakan penaja utama. UMW Grantt turut membawa sepasukan khas pacuan empat roda dinamakan Kay Adventure Grantt bagi tujuan mempromosi minyak enjin Grantt Quasar yang dirumus khas untuk kegunaan sukan lasak pacuan empat roda yang kebanyakkannya menggunakan enjin diesel.

"Pelbagai aktiviti menarik diadakan sempena program tiga hari ini antaranya pertandingan laluan berhalangan 4x4, kelas asas teknik pemanduan pacuan empat roda, kelas radio amatur, sukaneka untuk kanak-kanak dan dewasa, aktiviti amal bersama Orang Asli Kampung Terkam, pameran kenderaan pacuan empat roda dan sebagainya. 

"Gerai-gerai jualan aksesori 4x4, barangan aktiviti lasak, pakaian bundle serta penjualan minyak Grant oleh UMW Grantt turut diadakan," katanya. 

Pada sebelah malam pula kata beliau, peserta bakal dijamu dengan kenduri gulai kawah kampung yang dijangka seekor lembu akan ditumbangkan dan di masak secara bergotong royong. 

"Sementara berjamu selera, para peserta bakal di hiburkan dengan barisan artis tanah air yang turut serta. 
Malah para peserta juga akan disajikan dengan tarian tradisional masyarakat Orang Asli oleh penduduk Orang asli Kampung Terkam.

"Kepada peminat-peminat sukan lasak pacuan empat roda, kedatangan dialu-alukan bagi sama-sama memeriahkan program," katanya. 

Untuk maklumat lanjut boleh menghubungai Noorhisham sendiri di talian  011-32285595 dan Setiusaha program 012-9123454. - UTUSAN ONLINE