Pensyarah yang menyelia program tersebut, Noorazlin Ani, berkata, program anjuran Kolej Point dan Kelab Sukan dan Rekreasi kolej itu bertujuan meningkatkan kemahiran kepimpinan dalam kalangan pelajar.

“Matlamat program adalah memberi peluang dan pendedahan kepada pelajar terhadap langkah mempertingkatkan pengurusan diri.

“Menyedari pelajar masa kini terlalu terikat dengan kebergantungan gajet seperti telefon pintar, maka program yang diadakan berorientasikan alam ini diharap dapat memupuk pelajar mendalami nilai kecintaan terhadap alam semula jadi di kawasan luar bandar.

“Sepanjang program ini berlangsung, kami mengambil inisiatif untuk menyimpan semua gajet dan telefon bimbit pelajar bagi memastikan kesemua mereka memberi tumpuan sepenuhnya terhadap perjalanan program dan aktiviti yang dilakukan,” katanya kepada S2.

Dalam program yang berlangsung selama dua hari itu, aktiviti yang dijalankan dimulakan dengan pendedahan mengenai peraturan dan langkah-langkah keselamatan yang disampaikan jurulatih Kem 7, Yussof Ishak.

Selain itu, pelajar turut didedahkan dengan aktiviti lain seperti jejak hutan, berjalan malam, high elements, broken bridge, aktiviti menggunakan tali, log beam, wood barrel, flying fox dan zip lines.

Noorazlin menjelaskan, aktiviti seperti jejak hutan dan berjalan malam membolehkan pelajar merasai sendiri keindahan alam semula jadi, sekali gus menghargai alam sekitar.

“Program yang melibatkan kecergasan tubuh pula bertujuan meningkatkan keyakinan diri pelajar dalam melakukan aktiviti lasak,” katanya.

Beliau berharap program seperti itu dapat diteruskan dalam mana-mana program di institut pengajian tinggi kerana ia memberi impak yang besar kepada pembangunan sahsiah diri pelajar, di samping memupuk rasa kecintaan terhadap alam semula jadi.