Fizikal lebih kecil mungkin menjadi penghalang utama, namun mereka yakin sekiranya dilatih dari awal, selain mempunyai kelebihan mampu berfikir dan membut keputusan dengan pantas, ia bukan perkara mustahil.

Bagi Ketua Pendidikan Akademi QPR, Robert Nicoll, lapan pemain muda berbakat termasuk dari Malaysia itu mengikuti latihan yang diberikan dengan baik, malah mereka cepat menyesuaikan diri dengan persekitaran akademi.

Katanya, mereka juga mempunyai disiplin tinggi, sekali gus diharap ada dalam kalangan pelatih tersebut akan beraksi untuk negara masing-masing dan bermain di kelab Eropah kelak.

“Bagi pelatih dari Malaysia, Mohammad Alif Amzar Mohd. Hashim (Amzar) dan Kengo Lee (Kengo), mereka sangat berbakat dan mampu mengikuti latihan yang diberikan dan mereka juga cepat menyesuaikan diri.

“Kedua-duanya juga dilihat mempraktikkan apa yang dipelajari selama seminggu di akademi semasa perlawanan persahabatan seperti teknik mengawal bola, malah mereka juga tidak takut menunjukkan kemahiran serta teknik yang dipelajari.

“Saya harap apabila pulang ke Malaysia, mereka akan meneruskan latihan yang kita berikan termasuk menyimpan jurnal aktiviti supaya dapat membentuk serta mempersiapkan diri menjadi pemain profesional suatu hari nanti,” katanya kepada media Malaysia.

Menurut Nicoll, Kengo mampu membaca permainan dengan baik, namun dia perlu memperbaiki teknik pertahanan dan Amzar pula mempunyai pergerakan yang baik serta pantas biarpun bertubuh kecil.

Secara keseluruhan, tambahnya, kedua-duanya merupakan pemain yang bagus serta berbakat dan berharap mereka akan meneruskan apa dipelajari, sekali gus membentuk mereka menjadi pemain disegani suatu hari nanti.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif QPR Trust, Andy Evans berkata, pelatih Akademi QPR menjalankan beberapa sesi berbeza bertujuan mengasah bakat masing-masing dari aspek individu dan berpasukan.

“Latihan seminggu turut memberi mereka pengalaman menjadi sebahagian daripada keluarga QPR dan ia juga membuka peluang kepada anak muda berbakat berlatih bersama jurulatih di akademi ini,” katanya.

Evans berkata, siri jelajah itu mampu menjadi permulaan untuk melahirkan pemain profesional dan QPR sentiasa mengalu-alukan kedatangan bakat muda bola sepak dari Asia ke London yang menjadi pengalaman berharga seumur hidup untuk mereka.