Lagi pun selepas dari satu tempat ke satu tempat menggunakan kereta api dan mengalami beberapa ‘peristiwa’ ngeri, saya tidak lagi ‘berani’ menggunakan perkhidmatan tersebut.

Pendek kata, saya mengalami trauma hanya disebabkan kurangnya persediaan serta tidak bertindak bijak.

Pada hari dinantikan dan setelah segala persiapan selesai, saya mengambil bas menuju ke Split dengan jiwa ‘terseksa’ kerana terpaksa mengharungi sekali lagi perjalanan yang mengambil masa 12 jam termasuk merentasi Austria dan Slovenia.

Dalam perjalanan itu, fikiran saya hanya tertumpu pada jadual aktiviti dan juga beberapa perkara yang perlu dilakukan sebaik sahaja tiba di sana.

Mengikut perkiraan masa, saya akan sampai pada pukul 6 pagi dan ini bermakna perlu menunggu kira-kira enam jam lagi sebelum dibenarkan mendaftar masuk ke hostel yang ditempah.

Sebaik sahaja tiba, Split kelihatan sedikit sunyi. Apa yang memeningkan adalah kerana tiada apa-apa aktiviti boleh dilakukan melainkan menumpang tidur dan duduk di kaki lima terlebih dahulu atau mungkin menikmati sarapan di beberapa buah kafe di kawasan sekitar. Itu pun masih perlu menunggu sementara pintu kedai dibuka.

Saya akhirnya membuat pilihan pertama iaitu hanya duduk di kaki lima sebelum ke kafe untuk menikmati sarapan. Lagi pun ketika itu, saya dalam keadaan lapar dan penat.

Satu perkara menarik mengenai Split adalah tempat itu merupakan bandar kedua terbesar di Croatia yang terletak di kawasan Laut Adriatik dan mempunyai banyak reka bentuk bangunan menarik dan kubu besar.

Selain itu, Split mendapat pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai Tapak Warisan Dunia kerana terdapatnya monumen Roman paling menarik di dunia.

Ketika di sana juga, saya perhatikan kebanyakan pelancong dan pengunjung hanya menghabiskan masa bersantai di kafe atau restoran kerana suhu yang agak rendah walaupun matahari terik memancar.

Dalam pada itu, setelah menghabiskan masa duduk di kaki lima, saya kemudian membuat keputusan menikmati sarapan ala Croatia di salah sebuah kafe yang agak menarik.

Keadaan agak sesak dan kebanyakan meja sudah penuh. Sebaik sahaja kerusi kosong, saya terus mengambil tempat dan duduk bersebelahan seorang lelaki tua berusia lingkungan 60-an.

Selepas kira-kira 15 minit duduk, dia mula menegur saya dan bertanya:

“Where are you from?”

Saya menjawab: “I’m from Malaysia.”

Pada masa itu, dia kelihatan teruja dan mempunyai perasaan untuk bercerita selepas mendengar jawapan saya, seolah-olah pernah menjejakkan kaki ke negara kita.

Lelaki tua itu terus berkata:

“Selamat datang !! Malaysia army very good. Always help us and give food, polite and respect us. We are brothers,” katanya dalam pelat Croatia.

Dalam hati, saya pasti dia mempunyai kenangan manis atau hubungan akrab dengan tentera Malaysia sewaktu konflik 1992.

Tambahnya, tentera Malaysia telah banyak membantu rakyat Republik Yugoslavia sebelum berlakunya perpecahan sewaktu konflik di wilayah tersebut pada tahun berkenaan.

Dia sendiri mempunyai banyak kenangan bersama mereka walaupun suasana serta kesan peperangan yang dialami agak teruk.

Pagi itu, kira-kira dua jam saya bersama lelaki tua tersebut menghabiskan masa berbual dengannya. Masing-masing bertukar pengalaman dan cerita.

Banyak lagi yang saya ingin tanyakan, lebih-lebih lagi pengalaman sepanjang konflik berkenaan.

Tetapi masa menjadi penghalang dan dia juga tidak berapa fasih berbahasa Inggeris. Pertuturannya kadangkala diselang seli dengan bahasa Croatia.

Walau bagaimanapun, pada masa itu, saya berasa puas. Puas kerana mendengar pengalaman dan penghargaan seorang lelaki terhadap peranan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sewaktu misi Batalion Malaysia (Malbatt) suatu ketika dahulu.

Selain itu, saya juga puas dan bangga kerana kita dikenali menerusi misi bantuan dan sikap tentera kita sendiri.