Dua puncak tersebut ialah Gunung Nagarjun dengan ketinggian 5,100 meter dari aras laut dan puncak Chukung Ri (5,550 meter dari aras laut).

Katanya, beliau kini agak kepenatan akibat cuaca terlalu sejuk dengan keadaan hujan salji, namun tetap bersemangat meneruskan pendakian ke puncak seterusnya, Kongma La Pass dengan ketinggian 5,500 meter dari aras laut, esok.

“Buat masa ini tiada yang luar biasa berlaku, cuma hari ini agak penat kerana terlalu sejuk dengan keadaan angin yang kuat semasa menuruni puncak.

“Esok saya akan bergerak ke puncak ketiga, Kongma La Pass dan perlu berkhemah di atas sana kerana tiada tempat untuk menginap,” katanya menerusi aplikasi WhatsApp.

Mohd. Noor yang merupakan jurugambar Utusan Malaysia memulakan misi menawan beberapa puncak gunung di Banjaran Himalaya sejak 23 April lalu.

Selain Kongma La Pass, lima lagi puncak adalah Pokalde (5,806 meter), Khalapattar (5,550 meter), Kem Induk Everest (5,364 meter), Chola-La Pass (5,420 meter) dan Gokyo RI (5,357 meter).

Katanya, purata tempoh untuk mendaki setiap puncak gunung memakan masa antara empat hingga lima jam, bergantung kepada keadaan cuaca.