Pegawai Perhubungan Awam Lions Mount Everest Expedition (MEE), Sherine Leong berkata, James, 69, dijangka tiba pada 8 malam esok dengan pesawat Malaysia Airlines.

Beliau berkata, James dijangka bertolak dari Kathmandu pada 1.05 tengah hari waktu tempatan dan dia dilaporkan berada dalam keadaan sihat.

Pada 20 Mei lepas, James sepatutnya mendaki ke Kem 3 dan seterusnya ke puncak gunung tertinggi dunia itu dari Kem 4 sebelum diterbangkan dengan helikopter ke sebuah hospital di Kathmandu.

Dia dilaporkan mula mengalami sakit dada dan kesukaran bernafas ketika berada di Kem 2.

Dalam percubaannya untuk mendaki Gunung Everest pada Mei tahun lepas, James terpaksa membatalkan pendakian itu pada peringkat akhir di Kem 3 pada ketinggian 7,200 meter berikutan cuaca buruk.

Gunung Everest adalah gunung tertinggi dunia dengan ketinggian 8,848 meter.

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) adalah rakan media misi berkenaan yang dikenali sebagai Ekspedisi Gunung Everest (MEE) Lion 2017 anjuran Lions Club Port Dickson Pantai.

James membawa dua mesej penting iaitu untuk memberi inspirasi kepada masyarakat di setiap peringkat umur supaya memanfaatkan kesihatan yang baik untuk terus aktif dan menarik perhatian terhadap perlunya memelihara alam sekitar. - BERNAMA