Cubaan awal menerusi single Katakan Saja dan Cemburu berjaya mencuri tumpuan, sekali gus memperkenalkan lagi anak kelahiran Selangor ini kepada peminat muzik tempatan.

Tekad mengukuhkan kedudukan, Nabila tampil dengan lagu baharu berjudul Pematah Hati.

Dalam satu kenyataan, dia memanjat kesyukuran kerana lagu ciptaan Hael Hussaini dan Ezra Kong itu diterima baik peminat.

“Alhamdulillah, Pematah Hati antara single saya yang mudah diterima dan diputarkan di stesen radio dalam waktu singkat.

“Rentak yang rancak membuatkan liriknya senang dihafal pendengar. Saya terharu dengan maklum balas positif daripada peminat,” katanya.

Lebih membanggakan, video muzik Pematah Hati menerima sentuhan dua pengarah kelahiran Romania yang menggelarkan diri mereka sebagai Storytellers.

Ketika pelancaran Pematah Hati dan video muziknya baru-baru ini, Nabila memberitahu kerjasama berjalan baik antara kakitangan produksi dan tidak berdepan masalah ketika proses penghasilan.

“Idea yang ditampilkan adalah buah fikiran mereka berdua. Walaupun berbeza bahasa, tidak timbul masalah komunikasi antara kami.

“Mereka cepat menangkap mesej disampaikan dalam lagu tersebut dan berjaya menonjolkannya dalam video muzik dengan baik sekali,” ujarnya.

Menerusi video tersebut, turut terselit klip yang memaparkan kemesraan antara penyanyi ini dengan pelakon, Aedy Ashraf.

Sebelum video tersebut dilancar, Nabila rancak memuatnaik klip video itu sehingga mewujudkan spekulasi wujud percintaan antara dia dan pelakon Tentang Bulan itu.

Disoal tentang itu, Nabila memberi jawapan tersendiri.

“Saya dan Aedy saling profesional. Rakaman yang dimuat naik sekadar gimik untuk memperkenal video muzik kepada peminat.

“Aedy telah memainkan watak dengan baik. Peminat yang mengikuti perkembangan di Instagram pasti faham jalan cerita yang saya sampaikan sama ada dalam lagu, mahupun video muzik.

“Segala yang saya kongsi hanya gimik semata. Sebagai pendatang baharu, saya anggap itu satu publisiti untuk memperkenalkan muzik kepada peminat,” jelasnya.