Ketua Pejabat Kebudayaan dan Pelancongan Banyuwangi, M.Y. Bramuda berkata, pelbagai acara pelancongan itu turut termasuk penawaran 15 acara pelancongan bertaraf antarabangsa.

Menurut Bramuda, tawaran acara pelancongan itu antara lain mampu untuk meningkatkan ekonomi rakyat tempatan selain membolehkan mereka turut serta dalam acara berkenaan.

"Ramai yang tidak tahu, kami turut menawarkan acara tandas terbersih dan sungai terbersih dalam 72 acara yang sudah ditetapkan. Mungkin agak remeh tetapi tidak bagi rakyat tempatan.

"Ini membolehkan penyertaan daripada penduduk Banyuwangi sendiri yang secara tidak langsung akan memberikan kesedaran kepada mereka untuk mengekalkan kebersihan sekitar lokaliti mereka.

"Menariknya, pemerintah tidak menawarkan ganjaran wang yang tinggi sebagai hadiah tetapi cukup dengan hadiah-hadiah berupa keperluan mereka seharian.

"Ini termasuk beras, minyak, gula dan sebagainya yang pada hakikatnya lebih diperlukan penduduk setempat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada wartawan Malaysia dan Singapura yang mengikuti program promosi Kementerian Pelancongan Indonesia untuk memperkenalkan Banyuwangi dan Bali sempena Tahun Melawat [email protected] baru-baru ini.

Dalam perkembangan sama, Bramuda turut menambah, kepada pelancong luar, Banyuwangi menawarkan pelbagai produk ekopelancongan yang boleh dinikmati sepanjang tahun.

Sebagai contoh kata beliau, ialah Kawah Ijen yang terletak di Gunung Ijen setinggi 2,799 meter dari aras laut yang merupakan antara lokasi wajib lawat kepada pelancong luar.

Kawah Ijen merupakan lokasi pelombong sulfur mencari batu belerang itu selain api biru (blue fire) yang kelihatan pada waktu malam disebabkan oleh tindak balas gas di kawah berkenaan.

Bagi mempopularkan lagi Gunung Ijen, Bramuda berkata, pihaknya turut mewujudkan acara lumba basikal Jelajah Ijen yang dikenali sebagai perlumbaan paling kejam di dunia.

Kata beliau, ini disebabkan pelumba perlu mendaki dengan sudut ketinggian 45 darjah yang pastinya hanya yang terbaik akan melepasi perlumbaan itu.

"Selain itu, kita juga menawarkan pelbagai lokasi ekopelancongan yang pastinya akan menarik lebih ramai pelancong luar negara melawat Banyuwangi," katanya.

Menurut Bramuda lagi, pelancong luar negara meningkat naik mendadak ekoran pelbagai acara pelancongan diwujudkan di mana pada tahun lepas seramai 77,000 pelancong sudah hadir ke Banyuwangi berbanding hanya 44,000 pelancong pada 2015.

"Kami pasti, 72 acara pelancongan yang kami wujudkan tahun ini bakal meningkatkan lagi kehadiran pelancong luar selain meletakkan Banyuwangi di peta pelancongan dunia sebagai lokasi ekopelancongan ternama," katanya.

Dapatkan maklumat lanjut ekopelancongan di Banyuwangi di sini. - UTUSAN ONLINE