Ada sebab yang membuatkan saya tergerak hati untuk mencari dan berjumpa sendiri dengan mereka. Selain daripada mengisi kekosongan masa yang ada, saya juga ingin bertanya bagaimana kehidupan mereka di negara asing serta berdepan dengan kerenah, perangai serta kehidupan sosial orang tempatan.

Cuma apa yang menjadi masalah dan benda pertama saya fikirkan ketika itu bagaimana cara terbaik mendapatkan nombor telefon atau alamat mereka. Ini kerana saya hanya datang ke sini tanpa kenalan atau sebarang bentuk hubungan dengan mereka.



Tiba-tiba saya terfikir untuk ke pejabat Konsulat Malaysia kerana saya hanya mengharapkan Facebook semata-mata sebelum ini.

Jika saya berjaya jumpa dengan orang Melayu di sana, ini bermakna saya boleh dapat lebih banyak maklumat di samping menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama mereka nanti.

Akhirnya setelah dirancang, tinggal beberapa minggu sebelum puasa, saya pun ke pejabat konsulat yang terletak di 1,111 W. Georgia Street, Vancouver.

Sebaik sahaja tiba di pejabat tersebut, kelihatan beberapa orang sedang berurusan dan saya pasti mereka rakyat Malaysia berdasarkan cara serta loghat Malaysian Standard English yang dituturkan.

Bila tiba giliran saya, Janet Ambrose atau lebih mesra dipanggil Kak Janet yang berketurunan India dan merupakan satu-satunya petugas di kaunter tersebut terus panggil serta bertanya kepada saya. Mungkin masa itu, dia fikir saya dari negara lain yang tak boleh berbahasa Melayu. Dia terus bertanya,

“Hi sir, how can I help you?,”

Dengan spontan saya berbahasa Melayu dan terus memperkenalkan diri dan beritahu segala-galanya. Muka Kak Janet berubah seakan-akan pelik. Masa itu telahan saya besar kemungkinan dia mungkin hairan kenapa dan bagaimana saya boleh datang ke sini dengan niat yang lain, selain daripada menjalankan urusan kerja atau urusan rasmi.

Akhirnya telahan saya tepat. Untuk meyakinkan dia bahawa kedatangan saya tanpa ada niat tersembunyi, kad media yang kebetulan dibawa terus saya tunjukkan. Kak Janet hanya tersenyum.

“Adik, you tunggu kejap biar akak jumpa dengan konsulat, beritahu ada orang nak jumpa.”

Sekali lagi saya tunggu apa jawapan yang akan diberikan oleh Kak Janet kali ini. Pada masa itu, ada dua kemungkinan perlu difikirkan. Pertama kalau tidak dapat bantuan, maka saya perlu cari pelajar Malaysia di sana.

Tapi kalau semuanya ‘ok’, saya tak perlu susah payah. “Lantaklah, apa nak jadi, jadilah. Daripada tak buat apa-apa, lebih baik aku cuba. Harap-harap semuanya ‘ok lah’,” fikir saya. Inilah kali pertama saya berurusan dengan pejabat kerajaan di luar negara.

Selepas beberapa minit tunggu, Kak Janet beritahu saya. “Adik, konsulat cakap ok. You masuk guna pintu sebelah sana,” katanya.

“Fuh selamat. Nasib baik dapat green light dan ini bermakna usaha aku dah nak berjaya. Harap-harap semuanya ok.”

bersambung.....