Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

UJI KETAHANAN DIRI DI ECOTOURISM ESPEK

DESTINASI

PETUGAS media melakukan aktiviti Flying Fox ketika Program Lawatan Media ke Inap Desa Ecotourism Esp 4
PETUGAS media melakukan aktiviti Flying Fox ketika Program Lawatan Media ke Inap Desa Ecotourism Espek di Ladang Risda Ulu Slim,Perak . UTUSAN/ Riduan Rizal Ahmad

PIHAK Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) melalui anak syarikatnya, Espek Sdn. Bhd. (Espek) baru-baru ini melancarkan pusat peranginannya yang berkonsepkan ekopelancongan iaitu Ecotourism Espek di ladang RISDA Ulu Slim, Perak.

Ecotourism Espek berkeluasan 4.99 hektar merupakan salah satu projek hiliran Espek yang perniagaan terasnya adalah mengurus tadbir ladang serta kilang-kilang RISDA.

Membawa tema where knowledge meets nature, Ecotourism Espek menyasarkan pengunjung yang ingin menikmati keindahan alam di samping melakukan aktiviti lasak serta membina keyakinan diri seperti perkhemahan, kayak, rakit arus deras, menunggang all terrain vehicle (ATV), flying fox, merentas hutan dan sebagainya.

Selain menyediakan tempat penginapan berbentuk kabin, Ecotourism Espek yang terletak di sebelah sungai turut dilengkapi kemudahan tapak perkhemahan, tandas, dewan serba guna serta wakaf.

Baru-baru ini, penulis dan rakan-rakan daripada agensi media lain berpeluang mengunjungi Ecotourism Espek dalam program dua hari sempena majlis pelancaran pusat peranginan itu.

Penulis yang sememangnya gemarkan alam semula jadi, berasa begitu teruja apabila menjejakkan kaki di Ecotourism Espek.

Suasananya dikelilingi hutan dan ladang kelapa sawit begitu menyamankan. Lebih-lebih lagi terdapat sungai yang mengalir tenang.

Selepas mendaftar, kami diberi bilik (kabin) untuk penginapan satu malam. Bilik tersebut boleh memuatkan enam pengunjung dalam satu masa dan dilengkapi dengan bilik air serta pendingin hawa.

Walaupun nampak kecil, namun ia sudah cukup selesa bagi penginapan di dalam hutan yang berkonsepkan ekopelancongan.

Sebaik sahaja menyimpan bagasi dalam kabin, kami kemudian dibawa penganjur mencuba menunggang ATV di sekitar Ecotourism Espek.

Menunggang ATV memberi pengalaman baharu yang menyeronokkan lebih-lebih lagi kepada mereka pertama kali mencubanya.

Pengendaliannya nampak mudah namun sesekali menguji minda dan kemahiran ketika melalui laluan berbukit dan merentas anak sungai.

Kami meluangkan masa kira-kira dua jam meneroka hutan dan ladang kelapa sawit di sekitar Ecotourism Espek dengan ATV sebelum berhenti rehat dan makan tengah hari.

Pada sebelah petang, kami dibawa menaiki tram ke tempat permulaan untuk aktiviti merentas hutan ke Lata Berembun iaitu di Loji Air Sungai Geliting yang terletak kira-kira 15 minit dari Ecotourism Espek.

Perjalanan merentas hutan ke Lata Berembun mengambil masa kira-kira 45 minit. Dalam perjalanan, kami terpaksa merentas sebatang sungai dengan bantuan tali kerana airnya yang mengalir deras.

Berbanding air terjun lain, persekitaran Lata Berembun kelihatan bersih dan landskap semula jadinya masih lagi terpelihara kerana jarang dimasuki orang.

Selepas kira-kira 30 minit menikmati suasana dan bermandi-manda di Lata Berembun, kami kemudian berpatah balik ke Loji Air Sungai Geliting sebelum manaiki semula tram untuk kembali ke Ecotourism Espek.

Pada sebelah malam, delegasi petugas media diraikan dengan menu utama makanan malam iaitu kambing bakar sambil beramah mesra dengan kakitangan serta pengurusan RISDA dan Espek yang hadir.

Keesokan paginya pula kami dibawa melawat tiga perkampungan Orang Asli yang terdapat di sekitar Ulu Slim iaitu Pos Bersih, Pos Bangkong dan Pos Gesau.

Dalam lawatan itu, RISDA dan Espek menyampaikan sumbangan berbentuk keperluan asas kepada sebahagian penduduk sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) agensi dan syarikat tersebut.

Dalam perjalanan pulang ke Ecotourism Espek, kami dibawa ke Kolam Air Panas Ulu Slim yang merupakan antara tarikan pengunjung ke daerah tersebut.

Difahamkan, suhu air panas itu mencecah 104 darjah selsius dan boleh merebus telur dalam tempoh tidak sampai 10 minit.

Sekembali di Ecotourism Espek, kami diberi peluang mencuba aktiviti flying fox sepanjang kira-kira 20 meter di atas sungai dan sudah tentu memberi pengalaman berharga.

Pada sebelah petang, Ecotourism Espek mula dipenuhi orang ramai bagi menyaksikan majlis perasmian pusat peranginan itu yang disempurnakan oleh Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ismail Sabri ketika berucap dalam majlis tersebut antaranya menekankan penubuhan Ecotourism Espek bukan bertujuan mengaut keuntungan malah lebih daripada itu untuk membantu memajukan ekonomi masyarakat setempat.

Dengan adanya Ecotourism Espek, banyak peluang pekerjaan dan perniagaan akan dapat diwujudkan sekali gus memberi rahmat kepada penduduk di sekitarnya.

Dua hari tidak cukup buat penulis merasai nikmat ketenangan alam semula jadi di Ecotourism Espek. Masih banyak lagi aktiviti yang belum dilakukan. Penulis bercadang kembali ke sini semula, mungkin kali ini bersama keluarga.

Bagi yang berminat merasai sendiri pengalaman bercuti di Ecotourism Espek, boleh hubungi pihak pengurusan di talian 03-42704021 atau layari laman web www.espek.com.my.

Artikel Berkaitan
Artikel Lain
Video Pilihan