Sepanjang perjalanan ke Pulau Mabul yang merupakan antara pulau tercantik di negara ini, kamera telefon pintar, Fujifilm TX-1 atau apa sahaja gajet merakam tidak lekang di tangan untuk membidik gambar mahupun video sepanjang perjalanan.

Malah, pengunjung ke Pulau Mabul pastinya cukup sinonim dengan resort Uncle Chang Sipadan Mabul Dive Lodge, yang merupakan antara resort backpacker termurah di pulau berkenaan.

Masakan tidak, dengan hanya RM200, pengunjung boleh tinggal di resort tersebut selama dua hari satu malam termasuk makan dan aktiviti snorkeling serta RM370 bagi aktiviti selam skuba.

Menginap di resort backpacker ini bakal meninggalkan pelbagai kenangan manis untuk dirindukan, selain termimpi-mimpi akan keindahan matahari terbenam dari ruang bilik masing-masing.

Resort Uncle Chang yang lebih dikenali sebagai UC ini juga sinonim buat penggemar aktiviti selam skuba, selain pelancong yang ingin mendapatkan lesen selam skuba dengan harga murah tetapi dijamin selamat.

Memiliki tenaga pengajar selam skuba yang bertauliah memberi jaminan akan keselamatan hingga penulis menjadi saksi akan ‘kepadatan’ pelancong China saban hari di resort ini.

Menyediakan 30 bilik yang boleh menempatkan 90 pengunjung dalam satu-satu masa,resort UC yang telah bertapak selama 19 tahun itu menerima tempahan kira-kira 80 peratus sehingga September ini.

“Untuk pengetahuan, UC dalam proses menaik taraf bilik-bilik yang ada bagi memberi perkhidmatan dan keselesaan terbaik buat pengunjung.

“Setakat ini, UC memilik empat jenis bilik iaitu New Chalet, Standard Room, Dorm dan Family Room. Semua bilik ini boleh menempatkan 90 pengunjung dalam satu-satu masa,” ujar Pengurus UC, Jamilah Ang, 27, di pejabat urusan mereka di Semporna baru-baru ini.

Jamilah menambah, pihak pengurusan UC juga menyediakan ruang santai yang menyajikan live band pada waktu malam sebagai hiburan kakitangan serta pengunjung yang tinggal di resort berkenaan.

Malah, sajian makanan tiga kali sehari juga disediakan percuma kerana sudah termasuk dalam pakej yang diambil pengunjung ketika mendaftar masuk.

“Kita mahu mewujudkan satu ikatan (bonding) yang kukuh antara kakitangan, tenaga pengajar selaman dengan pelanggan kami. Ikatan ini bukan sahaja ketika mereka melakukan selaman tetapi juga ketika bersantai di lobi utama UC,” katanya bersungguh-sungguh.

Jamilah yang merupakan anak kepada Pengasas UC, Ang Kian Chong pastinya mahu perniagaan keluarga ini terus berkembang dari semasa ke semasa, selain berazam ingin menjadikan resort selam skuba terbaik di negara ini.

Sebarang tempahan, pengunjung boleh melayari laman sesawang Uncle Chang di www.ucsipadan.com atau emel ke [email protected]