Bentuk muka buminya yang diliputi 77 peratus gunung-ganang termasuk dua gunung utama, iaitu Gunung Seoraksan dan Gunung Odaeson, menjadikannya lokasi tepat bagi penganjuran Sukan Olimpik Musim Sejuk PyeongChang 2018.

Berkesempatan mengikuti lawatan ke daerah itu baru-baru ini bersama Korea Tourism Organization (KTO) sempena lawatan media bagi mempromosi Sukan Olimpik PyeongChang 2018, beberapa tempat menarik yang dikunjungi di Gangwon yang ternyata memberi pengalaman cukup menyeronokkan.

Jika di Seoul kesibukan bandar raya itu melatari kehidupan penghuninya, berbeza di Gangwon apabila kunjungan disambut dengan hamparan salji memutih dengan suhu mencecah -7 darjah Celsius.

Lokasi menarik pertama yang sempat dikunjungi ialah Pasar Ikan Jumunjin, di Gangneung, yang merupakan pasar menjual hasil laut segar dan kering seperti ikan, sotong, ketam dan udang, serta pelbagai jenis hasil laut yang tidak pernah dilihat sebelum ini.

Menariknya di pasar berkenaan, pelawat akan dihidangkan dengan deretan ikan kering yang dijemur pada musim sejuk dipanggil hwangtae yang merupakan antara makanan utama penduduk di kawasan itu.

Selain itu, Gangneung turut dikenali sebagai lokasi bandar kopi, iaitu di pantai Anmok, yang menempatkan deretan kafe menawarkan keenakan kopi Korea seperti di Bohemian Roaster.

Paling tidak dilupakan apabila berpeluang mempelajari sendiri bagaimana membuat hangwa, sejenis manisan tradisional Korea yang diperbuat daripada beras dan gula di Galgol Hangwa Village, yang merupakan sebuah kawasan terpelihara dan dijadikan lokasi pembuatan kuih berusia 500 tahun itu.

Pembuatan hangwa, yang telah menjangkau generasi ketiga keluarga pengusahanya di situ, tidak mudah kerana memerlukan masa hampir sebulan untuk siap.

Ini kerana, beras perlu direndam selama 20 hari di dalam air sungai mengalir, diikuti proses membuat kepingan doh dan digoreng sebelum dicelup dalam sirap gula.

Satu lagi lokasi menarik yang wajib dikunjungi ialah di daerah PyeongChang, di mana terletaknya Sky Ranch yang menempatkan pemandangan indah ladang ternakan ratusan lembu Holstein dan Hanu pada musim panas.

Pada musim sejuk pula, ia menjadi destinasi gelongsor ais, selain melihat deretan kincir angin.

Selain itu, kunjungan ke Uiyaji Wind Village, iaitu sebuah perkampungan yang terletak di pergunungan Daegwatllyeong, pasti tidak akan dilupakan.

Kemesraan salah seorang penduduk kampung berkenaan, Choi Soo Yon, yang berkongsi kaedah pembuatan keju secara tradisional sambil menghidangkan emping jagung dimakan bersama keju dan jem strawberi, memikat hati pengunjung.

Usah risau soal makanan halal kerana tidak sukar untuk mencari hidangan buat orang Islam berikutan terdapat banyak restoran menyajikan makanan halal dan mesra orang Islam seperti makanan laut dan berasaskan sayuran.

Antaranya, Restoran Sonamujib Chodang Sundubu yang menghidangkan sup pedas tofu lembut bersama nasi dan hidangan sampingan lain seperti kimchi dan bayam.

Sebelah malamnya pula, penulis berpeluang merasai keenakan hidangan Snow Crab stim, nasi goreng rumpai laut serta ramyeon yang dimasak dalam sup tofu pedas di Restoran Daegewangguk, Samcheok.

Selain itu, kumpulan media juga berpeluang melihat sendiri bagaimana hidangan bibimbap dibuat dan merasai keenakan hidangan berasaskan sayuran itu di Jeonggangwon, selain dapat melihat pembuatan kimchi.

Paling menarik apabila dijamu dengan hanjeongsik, iaitu set hidangan tradisional Korea di Seojichogateul, yang menghidangkan lebih 30 jenis makanan berasaskan sayuran, selain sotong kurita barbeku, sup hwangtae dan ikan panggang.

Usah risau tentang penginapan kerana terdapat banyak hotel terdapat di daerah itu, yang bukan sahaja menyediakan kemudahan bilik selesa, malah harga berpatutan dan pemandangan menarik.