Justeru, percutian berkonsepkan agro inilah yang giat dipromosikan oleh Majlis Pelancongan Malaysia (MTC) dengan sokongan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan serta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Menurut Presiden MTC, Uzaidi Udanis, jika siri pertama destinasi tertumpu di sebelah selatan, program Road To Agrotourism kali ini membawa kumpulan media dan blogger menerokai keseronokan memetik dan merasai sendiri buah-buahan di ladang milik Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Kuala Kangsar, Perak dan Cameron Highlands, Pahang.

“Saya dimaklumkan pengusaha yang mengambil bahagian dalam siri pertama mereka menerima permintaan terlalu tinggi terutama pada musim cuti sekolah. Malah ada terpaksa menolak tempahan kerana tidak dapat menampung permintaan yang begitu banyak dari pengunjung luar.

“Perkembangan positif ini menandakan matlamat program itu berjaya dicapai dalam membantu pengusaha agropelancongan meningkatkan perniagaan mereka. Beberapa destinasi sebelum ini tidak lagi menjadi lokasi rahsia. Selepas mendapat liputan meluas media ramai tertarik berkunjung ke destinasi terbabit.

“Justeru, kita akan teruskan program itu di seluruh negara menerusi siri-siri seterusnya. Untuk zon tengah, media dan blogger diberi peluang melawat ladang durian yang terletak di Taman Duriotourism MARDI Kuala Kangsar serta dusun buah-buahan dan sayur-sayuran di Taman Agro Teknologi Mardi Cameron Highlands,” katanya.

Selain mempromosikan hasil perladangan, matlamat program itu turut mengetengahkan lokasi penempatan, makanan daerah, kraf tangan, kebudayaan dan kesenian komuniti setempat. Kelainan program kali ini turut menampilkan konsep pengembaraan menaiki caravan menjelajah ke destinasi agropelancongan.

Dalam pada itu menurut Timbalan Ketua Pengarah MARDI, Dr. Kamariah Long, agropelancongan mempunyai potensi tinggi dalam menarik lebih ramai pengunjung dari luar datang bercuti ke Malaysia. Berdasarkan sumber Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani jumlah pengunjung ke pusat agropelancongan diunjurkan meningkat daripada 1.5 juta pada 2010 kepada enam juta pengunjung menjelang 2020.

“Selain menyumbang kepada sektor pelancongan, menerusi program itu juga dapat membantu dalam usaha membasmi kemiskinan dan meningkatkan pendapatan masyarakat luar bandar. Aktiviti seperti penjualan produk tempatan, pembukaan restoran, chalet dan inap desa dilihat dapat memberikan pendapatan tambahan kepada masyarakat tempatan.

“Agropelancongan juga memberi manfaat positif dalam menangani masalah pengangguran dan penghijrahan dari luar bandar kerana generasi muda mempunyai peluang menjana pendapatan tanpa perlu berhijrah ke bandar. Penghasilan kraf tangan pula membuka ruang kepada suri rumah menambah sumber kewangan,”ujarnya.

Dalam pada itu, seramai 26.7 juta pelancong dicatatkan melawat negara ini sepanjang tahun lalu iaitu meningkat sejuta orang berbanding tahun sebelumnya. Jumlah itu sekali gus menunjukkan peningkatan positif sektor pelancongan yang turut menyumbang kepada pendapatan negara.